Berlin: Pendatang baharu Bundesliga, RB Leipzig berkongsi mata dengan Bayern Munich di puncak liga apabila mengumpul 24 mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Mainz.

Leipzig, yang kini menyamai pencapaian Bayern dengan tujuh kemenangan dan tiga seri daripada 10 perlawanan terawal, menyamakan rekod untuk pasukan dalam musim sulung Bundesliga yang dicatat MSV Duisburg, yang turut mencatat 10 perlawanan tanpa kalah dalam kempen 1993-94.

Dua jaringan Leipzig menerusi Timo Werner dan satu daripada Emil Forsberg hampir membuat pasukan tuan rumah menang besar apabila mereka mensia-siakan empat peluang untuk menewaskan Mainz yang jatuh ke tangga ke-10.

Selepas Bayern terikat 1-1 dengan Hoffenheim kelmarin, Leipzig merebut peluang untuk menyamakan kutipan mata dengan skuad gergasi Bavaria itu tetapi berada di tangga kedua menerusi perbezaan gol.

Leipzig, yang baru saja ditubuhkan pada 2009, menempah tiket ke liga utama Jerman musim ini dengan empat kali bertukar liga dalam tempoh tujuh tahun.

Aksi sebelum Krismas menentang Bayern di Arena Allianz pada 20 Disember ini dikatakan bakal menjadi pertemuan penting.

“Ini satu impian tapi kami enggan mencetuskan kekecohan dengan berkata kami sedang mengejar Bayern, ” kata Werner, 20, selepas menjaringkan dua gol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:20 AM