AKSI antara Leipzig dan Stuttgart yang berkesudahan pasukan tuan rumah menang 2-0. FOTO EPA
AKSI antara Leipzig dan Stuttgart yang berkesudahan pasukan tuan rumah menang 2-0. FOTO EPA
AFP

Berlin: Pasukan tangga kedua, RB Leipzig terus membuatkan Bayern Munich ternanti-nanti untuk meraih kejuaraan Bundesliga selepas Emil Forsberg menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua bagi membantu kemenangan 2-0 ke atas Stuttgart yang beraksi dengan 10 pemain.

Jika Leipzig tumpas ia sudah boleh mengesahkan Bayern sebagai juara liga Jerman buat kali kesembilan berturut-turut walaupun pasukan bimbingan Hansi Flick tumpas 1-2 kepada Mainz.

"Ia kemenangan yang sangat penting buat kami. Kekalahan akan meletakkan lebih tekanan untuk kedudukan ke Liga Juara-Juara dan tempat kedua.

"Ia bukan 100 peratus selamat tapi nampaknya sangat bagus," kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann.

Leipzig memiliki kelebihan tujuh mata dengan pasukan tempat ketiga, Wolfsburg tatkala berbaki tiga perlawanan.

Ketika perlawanan baru berlangsung 12 minit, pertahanan berusia 19 tahun, Naouirou Ahamada dilayangkan kad merah, pada mulanya dia hanya dikenakan kad kuning namun selepas melihat semula Video Bantuan Pengadil (VAR) pengadil terus memberi hukuman berat kerana mengasari Amadou Haidara.

Haidara menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah selepas 12 saat aksi separuh masa kedua bersambung selepas menerima hantaran lintang dari Dani Olmo.

Selepas dijatuhkan dalam kotak penalti, Forsberg mengambil sendiri sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan Leipzig dan mengurangkan jurang denga Bayern kepada tujuh mata tatkala berbaki tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 8:42 AM