Bayi berusia berusia lima bulan antara enam PATI warganegara Indonesia yang ditahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Bayi berusia berusia lima bulan antara enam PATI warganegara Indonesia yang ditahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Sri Aman: Bayi berusia lima bulan antara enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan bersama seorang tekong darat kerana memasuki Sarawak menggunakan jalan tikus semalam.

Semua yang berusia lima bulan hingga 40 termasuk tekong darat berusia 48 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam Op Benteng Covid di Kampung Rapak Jalan Lachau-Serian, Pantu, di sini jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, ketika sedang menjalankan tugas rondaan pasukan operasi menahan sebuah kereta Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas membuat pemeriksaan didapati seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu, empat lelaki dan seorang wanita bersama seorang bayi perempuan sebagai penumpang berada dalam kereta berkenaan

"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai permit pergerakan rentas daerah dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati tekong darat berasal dari Sibu itu diminta rakannya dikenali Ah Liang untuk mengambil empat lelaki Indonesia terbabit di Kota Sentosa, Batu 7, Kuching untuk dihantar ke simpang Lachau, Sri Aman dengan dijanjikan bayaran RM800.

"Keempat-empat lelaki berkenaan masuk ke Sarawak pada Isnin lalu melalui laluan tikus di Entikong dengan tujuan untuk mendapatkan pekerjaan di Bintulu.

"Ketika berhenti sebentar di Kampung Rapak, Pantu sebelum terserempak dengan seorang wanita Indonesia bersama bayi," katanya.

Katanya, wanita berkenaan meminta tolong untuk menghantarnya ke Sarikei dengan tujuan untuk berjumpa suaminya yang sudah bekerja di Sarikei sejak lima tahun yang lalu.

"Wanita berkenaan mempunyai pasport namun dia bersama anaknya masuk ke Kampung Rapak, Pantu melalui jalan tikus.

"Suspek bersetuju untuk membawa wanita dan anaknya kerana mereka juga dalam perjalanan ke Sibu," katanya.

Bingkok berkata, tekong darat berkenaan turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Permohonan reman di bawah Akta SOSMA akan dipohon selama 28 hari ke atas suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 1:47 PM