Nazdy Harun


Kuala Nerus: Pokok setol di kawasan Tanah Perkuburan Islam di Kampung Kebor Besar, di sini, didakwa tiba-tiba terbakar sejak petang semalam.

Kejadian itu disedari penduduk kampung, kira-kira 5 petang semalam, sebelum menghubungi bomba dan dipadam sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.

Bagaimanapun, pokok berkenaan kembali berasap dan terbakar, hari ini, sekali gus menimbulkan kehairanan dalam kalangan penduduk dan orang ramai.

Pengerusi Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kebor Besar Che Harun Ali, 50, mengesahkan kejadian itu tetapi tidak mahu masyarakat tidak terlalu taksub dan mengaitkannya dengan kepercayaan karut serta tahyul.

"Kejadian ini memang menimbulkan tanda tanya kerana ia sudah dipadam sepenuhnya oleh anggota bomba tetapi kebakaran kembali berlaku.

"Saya juga berharap supaya tiada pihak yang menjadikan tempat ini untuk melakukan perkara atau perbuatan kurafat yang boleh memesongkan akidah," katanya.

Kejadian itu juga viral di laman sosial sejak petang semalam dan mendapat perhatian netizen yang turut mengaitkannya dengan unsur mistik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 7:54 PM