Sudirman Mohd Tahir


Selepas kemunculan band Pita Hati di bawah syarikat rakaman Luncai Emas, terbaru syarikat milik komposer ternama Datuk M Nasir itu menampilkan band baru iaitu Ramayan.

Kumpulan yang dianggotai lima anak muda ini terdiri daripada Mohamed Syafi’i, 21, (penyanyi dan gitar), Amin Jali, 25 (gitar), Omar Saifuddin, 24 (bass), Mohd Nadzrul Yahaya, 23 (organ dan piano) dan Muhammad Naquyuddin Azeem, 20 (dram dan percussion) mula ditubuhkan sejak September 2014.

Ramayan yang membawa maksud ‘keramaian’ ini muncul dengan album terbaru menggunakan nama kumpulan mereka.

Syafi’i berkata, album yang memuatkan lima lagu itu mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

“Semua lagu dalam album ini dihasilkan sepenuhnya oleh kami yang mengisahkan mengenai minat masing-masing.

“Memandangkan kami daripada latar kehidupan yang berbeza, penghasilan lagu itu pelbagai. Pendek kata ia lebih kepada pemikiran remaja masa kini,” katanya.

Menurut Syafi’i yang juga anak keempat M Nasir, Ramayan mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding kumpulan sedia ada.

Lima anak muda ini mengklafikasikan muzik mereka sebagai Nusantara psychedelia yang menggabungkan pop balada, hard rock, blues dan muzik Melayu.

“Kalau nak bercakap soal kelainan, Ramayan lebih mengutamakan muzik yang dibawa. Saya percaya muzik sebegini tak banyak pemuzik kita boleh bawakan. Kami mahu membawa nafas dan wajah baru dalam arena muzik tempatan.

“Saya juga yakin muzik kami boleh diterima pendengar. Apatah lagi melodi setiap lagu memang ‘easy listening’, malah kebanyakan lagu di Malaysia sekarang pun lebih ke arah itu,” katanya.

Berkongsi mengenai proses rakaman album ini, Syafi’i menjelaskan, semua lagu dirakam di dalam studio dan bukan seperti kumpulan Pita Hati yang memilih rakaman dengan memasukkan bunyi-bunyian dari persekitaran.

Pada masa sama, Syafi’i berkata, bapanya ada memberi panduan mengenai penghasilan lirik yang betul.

“Sepanjang proses rakaman juga bapa ada memantau dan turut memberi pandangan terhadap lagu yang dihasilkan. Namun, dia lebih banyak menyentuh mengenai lirik,” katanya.

Ditanya siapa inspirasi Ramayan dalam memperjuangkan muzik mereka, Syafi’i memaklumkan mereka mengambil pengaruh daripada kumpulan terdahulu seperti Alleycats, D’Lloyd, Sweet Charity dan Datuk Zainal Abidin.

Mengenai sasaran pembeli album mereka pula, Ramayan yakin ada peminat yang sanggup membeli.

“Kami tak ada sasaran pembeli tertentu, sebaliknya yakin lagu begini ada pengikutnya. Sesiapa yang jujur terhadap muzik pasti mereka boleh menerima lagu kami.

“Di Barat pasaran album masih mendapat tempat. Disebabkan itu kebanyakan penyanyi masih yakin menerbitkan album. Begitu juga dengan di Malaysia, permintaan daripada pendengar masih ada,” katanya.

Sebagai permulaan, album Ramayan yang memuatkan lagu seperti Akhir Kalam, Hantu, Oh! Dewiku, Gemalai dan Sepintas Sastera Hati dicetak 1,000 keping.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 11:44 AM