Michelle Gun


Susulan kejadian Kim Kardashian dirompak di Paris minggu lalu, rakaman program realiti keluarga selebriti itu, Keeping Up With the Kardashians dilaporkan ditunda buat masa ini atas faktor keselamatan.

Jurucakap saluran E! memberitahu portal ET keputusan itu bagi mengutamakan kebajikan Kardashian.

“Kami juga tidak tahu sampai bila rakaman ditunda kerana belum menerima kata putus,” katanya.

Menurut ET, sumber rapat dengan Kardashian berkata bintang program realiti itu masih trauma dan menyedari kesilapannya sering menunjuk kemewahannya di media sosial.

“Dia kini sedar menunjuk-nunjuk barang kemas, batu permata dan wang di media sosial mungkin salah satu punca rompakan itu berlaku,” katanya.

Kata sumber itu, selebriti berusia 35 tahun terbabit masih beremosi memikirkan kejadian rompakan yang menyebabkan barang kemas miliknya bernilai RM43.9 juta dilarikan lima suspek.

“Saya rasa Kim akan ambil masa yang lama untuk melupakan kejadian ini. Dia masih trauma,” katanya.

Sumber berkata, ibu kepada dua anak itu turut membatalkan beberapa perjumpaan membabitkan kariernya termasuk penampilan khas di kelas solekan yang akan berlangsung di Dubai, Jumaat ini.

“Buat masa ini Kim mahu berehat seketika dan tidak akan berkongsi perkembangan dirinya di media sosial,” katanya.

Dalam kejadian awal Isnin lalu, lima lelaki bertopeng dipercayai warga tempatan menceroboh apartmen penginapan Kardashian di Hotel Particulier Pourtales sebelum mengacukan senapang di kepala selebriti itu.

Kemudian, perompak terbabit mengikat Kardashian dan melarikan barang kemas termasuk sebentuk cincin berlian bernilai RM14.6 juta.

Berikutan kejadian itu, ramai menyalahkan Kardashian kerana suka menayangkan kemewahannya di media sosial.

Sementara itu, majalah People melaporkan pihak berkuasa Paris mempercayai suspek mengawasi Kardashian dengan menyamar sebagai paparazi untuk mengekori wanita itu.

Dalam pada itu, pakar kes kecurian barang kemas, Scott Selby berkata barang kemas Kardashian bermungkinan besar tidak dapat ditemui semula.

“Suspek akan membawa barang kemas Kim ke tukang untuk membuka semula semua batu perhiasan bagi menurunkan harganya,” katanya.

Menurutnya, batu perhiasan berserta bahagian lain barang kemas itu akan dijual di pasaran gelap dan seterusnya di tempat pembuatan batu permata di Antwerp, Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 11:13 AM