LELAKI yang dicari polis. FOTO ihsan Polis
LELAKI yang dicari polis. FOTO ihsan Polis
Nadzreen Shah Mat Salim


Petaling Jaya: Pihak polis meminta bantuan orang ramai mengesan remaja lelaki bagi membantu siasatan kes samun di hadapan pondok pengawal di di Ara Putra, Ara Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, remaja berkenaan yang dikenali sebagai, Muhammad Nur Aman Ibrahim, 17, dikesan bagi membantu siasatan kes samun bersenjatakan parang terhadap dua wanita dilokasi berkenaan, jam 3.40 pagi.

Katanya, susulan kejadian itu, anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan Desa Ria terserempak dengan kenderaan disyaki terbabit dalam kejadian samun, 5.30 petang hari sama.

"Berlaku kejar mengejar antara polis peronda dengan kereta berkenaan sejauh dua kilometer sehingga ke Desa Mentari.

"Pemandu kenderaan terbabit bertindak melanggar pintu hadapan bahagian kiri peronda dan anggota melepaskan lima das tembakan ke arah kereta itu.

"Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis menemui parang, topi keledar dan sembilan paket plastik lutsinar dipercayai dadah Heroin.

"Susulan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Zani meminta orang ramai membantu mengesan Muhammad Nur Aman dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 3:26 PM