Indonesia mengharamkan semua lambang, risalah atau buku berunsur propaganda serta simbol ideologi komunis.  - Foto Thukul Cetak
Indonesia mengharamkan semua lambang, risalah atau buku berunsur propaganda serta simbol ideologi komunis. - Foto Thukul Cetak
BERNAMA

Jakarta: Salah faham mengenai tajuk buku 'Manifesto Komunis' yang mempunyai lambang komunis iaitu tukul dan sabit punca empat peserta Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia ditahan polis.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim berkata, keempat-empat peserta Malaysia itu sebenarnya diminta memberi keterangan di Balai Polis Daerah Metro Jaya di sini, semalam.

Katanya, pada mulanya polis merampas buku yang bertajuk 'Manifesto Komunis' selepas terlihat lambang tukul dan sabit, disebut 'palu arit' yang diharamkan di Indonesia.

"Selepas siasat, polis berpuashati isi kandungan buku itu menceritakan kekejaman komunis yang membunuh lebih sejuta orang hanya kerana ideologi dan keempat-empat mereka dibebaskan daripada sebarang tuduhan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, buku terbitan Thukul Cetak itu juga mencatatkan menifestasi Karl Marx dalam bahasa Melayu dan tidak mempunyai unsur negatif kecuali kulit buku mempunyai lambang komunis dan ia sensitif di Indonesia.

Pameran buku itu disertai oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan ketua pengarahnya Sakri Abdullah dibenarkan pulang hari ini selepas pasportnya diserahkan semula oleh Pejabat Imigresen di sini, petang tadi.

Tiga lagi yang dibenarkan berlepas pulang semalam ialah penerbit buku itu Zulfikri Zamir Mohamad Munir, Ketua Jabatan Buku Malaysia Rozlan Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Buku Khairulnizam Mohamad Yunis.

Pesta buku antarabangsa itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta mulai Khamis lalu sehingga semalam, disertai 22 syarikat penerbitan buku dari Malaysia.

Zahrain berkata, ITBM perlu lebih sensitif dan memahami undang-undang sesebuah negara sebelum membawa buku dari Malaysia untuk dipromosi atau dijual.

Indonesia mengharamkan semua lambang, risalah atau buku berunsur propaganda dan simbol ideologi komunis. Pihak berkuasa pernah menahan pelancong asing yang mengenakan pakaian mempunyai lambang 'palu arit' di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:05 PM