Norizuan Shamsuddin


Kajang: Suspek kedua dipercayai melarikan pelajar tingkatan tiga di Bandar Tun Hussein Onn, 22 September lalu, ditahan polis dalam serbuan di rumah di Taman Damai Indah di sini, 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, lelaki berusia 21 tahun berkenaan ditahan susulan penahanan suspek utama, Isnin lalu.

Katanya, semakan dilakukan mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja serta mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Pemeriksaan di dalam rumah suspek juga menemui baju warna merah dan seluar kelabu yang dipakai sewaktu kejadian.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku berperanan sebagai penunggang motosikal milik rakannya (suspek utama) sewaktu kejadian. Manakala suspek utama berperanan memegang dan mengugut mangsa dengan parang supaya tidak melawan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek terbabit kini direman tujuh hari sehingga 5 Oktober ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dilarikan dua lelaki menunggang motosikal di hadapan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pelajar berkenaan, Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, sedang menunggu van untuk ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:44 PM