Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan bersama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kelantan, Tuan Hassan Tuan Abdullah berkata, mereka yang ditahan antaranya warganegara Myanmar (22), Bangladesh (27), Indonesia (18) dan Pakistan (4).

"Kita serbu dua tapak pembinaan di Bandar Baru Tunjung, di sini dan mendapati 71 PATI ini bekerja tanpa permit yang sah.

"Operasi bermula 8 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari, membabitkan 21 pegawai dan anggota pelbagai agensi antaranya CIDB, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963 serta Seksyen 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya ketika ditemui di Pejabat Penguatkuasaan Imigresen, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah CIDB Kelantan, Jasmi Mohd Salleh berkata, pihaknya merekodkan 115 kesalahan serius yang dilakukan pekerja di dua tapak pembinaan itu.

Beliau berkata, kesalahan itu termasuk tidak memakai pakaian lengkap seperti kasut dan topi keselamatan, selain tidak memiliki kad hijau yang membenarkan mereka berada di tapak pembinaan.

"Kita akan ambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada dan operasi begini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin tahap keselamatan di tapak pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 2:53 PM
Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO Syamsi Suhaimi
Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO Syamsi Suhaimi