ANTARA warga asing ditahan Imigresen Kuala Lumpur menerusi operasi bersepadu bersama CIDB  di sebuah tapak pembinaan di Segambut.
ANTARA warga asing ditahan Imigresen Kuala Lumpur menerusi operasi bersepadu bersama CIDB di sebuah tapak pembinaan di Segambut.
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Jika dahulu sektor pembinaan dimonopoli pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia namun keadaan kini berubah apabila ‘Mat Bangladesh’ mula memenuhi tapak binaan.

Ini dibuktikan susulan operasi dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur terhadap tapak binaan di Segambut, di sini, pagi semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata, seramai 177 daripada 320 warga asing yang ditahan membabitkan 173 lelaki dan empat perempuan.

Beliau berkata, warga Bangladesh menjadi penyumbang utama kepada penangkapan itu dengan 145 lelaki Bangladesh ditahan diikuti 25 lelaki serta empat perempuan warga Indonesia.

“Ada tahanan yang hanya membawa sehelai kertas sebagai dokumen pengenalan diri. Kami akan periksa sekali lagi dalam sistem untuk memastikan mereka dikategorikan sebagai pekerja sah di sini.

“Susulan itu, individu terbabit bersama warga asing lain yang ditahan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya pada sidang media operasi bersepadu bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal.

Menurutnya, menetap melebihi tempoh ditetapkan, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri adalah tiga kesalahan utama yang dikesan ketika serbuan.

Sementara itu, Zainora berkata, pihaknya mendapati syarikat dari China yang beroperasi di tapak pembinaan itu tidak mempunyai permit sah.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan mengeluarkan arahan penutupan operasi syarikat itu, namun ia bergantung kepada tahap kesalahan syarikat berkenaan.

“Masalah seperti itu tidak sepatutnya berlaku berikutan CIDB sudah memanggil 87 wakil syarikat dari China awal tahun ini untuk mendengar penerangan mengenai syarat menjalankan operasi pembinaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:51 AM