London: Peluang Pemain Terbaik Tahunan Afrika sebanyak empat kali Yaya Toure (gambar) kembali menyarung jersi Manchester City dilihat semakin tipis selepas ejennya melancarkan serangan terbaru kepada pengurus Pep Guardiola.

Awal minggu ini, Guardiola berkata beliau tidak akan menurunkan Toure selagi ejennya Dimitri Seluk tidak meminta maaf berhubung kenyataannya yang menuduh pengendali Sepanyol itu menghina pemain tengah Ivory Coast berusia 33 tahun berkenaan dengan menggugurkannya daripada skuad Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Seluk enggan patuh dengan permintaan Guardiola sebaliknya beliau tampil dengan kenyataan terbaru: “Pep Guardiola – beliau hanya memikirkan soal dirinya sendiri. Beliau ingat dirinya adalah Tuhan,” kata ejen kelahiran Ukraine itu.

“Beliau pernah memenangi pelbagai gelaran dengan Barcelona tetapi Yaya juga pernah berbuat demikian.

“Pep menganggap beliau sudah mempunyai segala-galanya dan berhak melakukan apa saja.”

Seluk yang menjadi ejen kepada ramai pemain di Eropah Timur serta Afrika berkata, Guardiola tidak langsung menghormati pemain yang sudah lama mewakili Manchester City.

“Bagi saya, ada perkara yang sangat pelik sedang berlaku di Manchester City kerana Yaya sudah lama bersama kelab itu. (Joe) Hart juga begitu dan sama juga (Vincent) Kompany. Bila datang seorang jurulatih baharu, beliau mengetepikan pemain senior ini seperti anjing,” kata Seluk.

Toure yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa sebelum Guardiola enggan menurunkannya, masih belum tampil dalam perlawanan sejak Seluk mengkritik pengendali terbabit.

“Kecuali Dimitri Seluk datang dan memohon maaf secara terbuka kepada saya, Yaya tidak akan diturunkan. Pemain tengah itu hanya akan beraksi apabila perkara itu berlaku.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:18 AM