BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima terselamat daripada cubaan culik oleh seorang lelaki ketika pulang dari sekolah berhampiran rumahnya di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, remaja berusia 17 tahun berkenaan dikatakan baru turun dari bas dan berjalan seorang diri di lorong perumahan apabila diekori lelaki menaiki kereta.

"Apabila menghampiri pelajar berkenaan, suspek cuba menarik mangsa masuk ke dalam keretanya yang diletak di tepi lorong itu.

"Mangsa menjerit meminta tolong dan bergelut sebelum berjaya melepaskan diri menyebabkan suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:55 PM