ACARA BMW Safety 360⁰ di Julia Gabriel Center, Citta Mall.
ACARA BMW Safety 360⁰ di Julia Gabriel Center, Citta Mall.

Keselamatan anak ketika berada di dalam kenderaan amat penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pelbagai kejadian buruk boleh berlaku sekiranya mereka tidak dipantau tidak kira sama ada ketika melakukan perjalanan jauh atau dekat.

Sikap ambil mudah ibu bapa boleh menjurus kepada ancaman terhadap keselamatan kanak-kanak yang masih kecil.

Sehubungan itu, BMW Group Malaysia baru-baru ini menganjurkan BMW Safety 360∞ bagi meningkatkan kesedaran mengenai etika di jalan raya dan teknologi keselamatan di dalam kenderaan bagi ibu bapa dan kanak-kanak.

Acara itu diadakan di Festival Cooler Lumpur 2016 iaitu festival pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara yang membincangkan pelbagai idea mengenai teknologi.

Lebih menarik, program terbabit diadakan dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM).

Berlangsung di The Square, Publika pada 10 dan 11 September lalu, program itu dihadiri oleh keluarga yang berada di sekitar Lembah Klang.

Perunding Keselamatan Penumpang Kanak-kanak untuk PPBM Karen Tan turut menyampaikan mesej kepada ibu bapa mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak serta kepentingannya.

Turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi. Pada masa sama, kanak-kanak berpeluang menikmati keseronokan dengan menyertai aktiviti keselamatan jalan raya yang disediakan.

Program keselamatan ini dijalankan selama enam bulan. Dalam tempoh itu, BMW Group Malaysia akan melawat pusat asuhan kanak-kanak, tadika dan montessori terpilih di seluruh negara.

Selain itu, program berkenaan juga dianjurkan di Pusat Julia Gabriel dan Krista Education baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 5:02 AM