KESELAMATAN dan perlindungan kanak-kanak dalam kereta.
KESELAMATAN dan perlindungan kanak-kanak dalam kereta.
Oleh Lizam Riduan


Keselamatan anak kecil ketika berada dalam kenderaan amat penting dan kerana itu ibu bapa disaran menyediakan kerusi khas buat mereka.

Bagaimanapun, tidak semua mampu memilikinya kerana faktor harga dan kemampuan.

Untuk itu, BMW Group Malaysia mengumumkan Program Subsidi NEXTStep menerusi kerjasama dengan Safe 'n Sound dalam penyediaan kerusi kereta kanak-kanak dengan subsidi penuh buat kategori keluarga B40.

Ia adalah inisiatif 'BMW Safety 360ยบ' sejak 2019 dengan menyediakan 300 kerusi bayi dan kanak-kanak.

Kerusi ini mampu menampung berat sehingga 36 kilogram (kg).

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Hans de Visser berkata, program ini memberi tumpuan dalam meningkatkan kesedaran keluarga berkaitan amalan keselamatan berkenaan.

Ia juga bagi memastikan amalan keselamatan itu menjadi kebiasaan di Malaysia.

"Walaupun pelbagai program dan usaha dilakukan, kami sedar penerimaan yang rendah harus diatasi dengan pendekatan yang lebih daripada sekadar bersifat lisan dan separa subsidi.

"Program Susbsidi NEXTStep ini adalah untuk terus menjadikan kerusi kanak-kanak ini lebih mudah dimiliki dalam kalangan ibu bapa atau keluarga yang memerlukan," katanya.

Program Subsidi NEXTStep oleh BMW Group Malaysia dan Safe 'n Sound disasarkan buat keluarga yang bakal menimang cahaya mata, anak sehingga seberat 36kg dan berpendapatan isi rumah di bawah RM3,500.

Mereka boleh mendaftar di laman web Safe 'n Sound sehingga 22 Mei ini.

Ibu bapa yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp dan yang di luar Lembah Klang akan dimaklumkan mengenai cara penghantaran.

Buat yang tinggal di Lembah Klang, mereka akan dimaklumkan berkaitan tarikh, waktu dan lokasi untuk pengambilan kerusi kanak-kanak itu.

Harga pasaran untuk kerusi kenderaan kanak-kanak yang disumbangkan itu antara RM199 hingga RM499, bergantung kepada kesesuaian dan spesifikasi kenderaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 10:15 PM