MOHAMAD Yuzaidi (kanan) dan Razali Hashim menunjukkan cendawan jerami yang tumbuh di tandan sawit.
MOHAMAD Yuzaidi (kanan) dan Razali Hashim menunjukkan cendawan jerami yang tumbuh di tandan sawit.
Oleh Mohamad Hussin


Konsep tabur, tunggu dan tuai (3T) yang diperkenalkan Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Padang Terap, Kedah berjaya menghasilkan cendawan jerami atau volvariella volvaceae menggunakan tandan sawit.

Kaedah itu dapat membantu golongan penoreh getah menambah hasil pendapatan berikutan harga getah di pasaran yang turun naik.

Percubaan pertama PPD Padang Terap menanam cendawan jerami berjaya mengutip enam kilogram (kg) dengan hanya ditanam pada satu batas.

Pegawai PPD Padang Terap Mohamad Yuzaidi Azmi berkata, hasil itu sangat membanggakan kerana di Thailand setiap batas ­hanya berupaya mengeluarkan cendawan sebanyak 2kg dari setiap batas dan saiznya pula lebih besar.

Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan cuaca dan tandan sawit di negara ini mampu menghasilkan cendawan yang banyak.

“Percubaan ini menjadi perintis kepada penoreh bagi menampung perbelanjaan ketika harga getah murah pada waktu ini.

“Tanaman ini boleh dilakukan di ladang getah dan mudah diusahakan,” katanya yang ditemui pada Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian 2015 di Institut Pertanian Serdang, Selangor, baru-baru ini.

PPD Padang Terap mendapat tempat kedua Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Pegawai) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM750 dan sijil penghargaan.

Mohamad Yuzaidi berkata, penjagaannya sangat mudah berbanding tanaman cendawan sekarang kerana tidak perlu memberi perhatian sepenuhnya.

“Ini membolehkan pengusaha boleh melakukan kerja lain. Cendawan jerami hanya disiram hanya sekali pada awal tanamannya.

“Selepas menabur benih selama tujuh hari, penoreh sudah boleh mengutip hasil dan dijual di pasaran. Hasil cendawan jerami boleh dikutip selama 30 hari dan setiap batas yang tanaman boleh menghasilkan 6kg,” katanya.

Menurutnya, PPD Padang Terap menyasarkan setiap penoreh dapat mengusahakan lima batas di ladang getah mereka dan yakin apabila musim menuai mampu memperoleh RM100 sehari.

“Kami sudah memperoleh 16 tan tandan sawit untuk dibina 50 batas bagi menanam cendawan jerami di Kampung Kubang Kenyeng, Mukim Tekai Kanan, Kuala Nerang.

Ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai penoreh di daerah itu melihat teknik tanaman itu.

“Cendawan jerami makin mendapat permintaan apabila beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) turut berminat membabitkan diri dalam tanaman itu.

“Saya yakin cendawan jerami mampu menambah pendapatan penoreh getah kerana tanaman ini tidak memerlukan kawasan luas dan boleh ditanam di dalam ladang getah mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 4:52 AM