ANDI Maddusila
ANDI Maddusila
Agensi

Gowa: Polis Sulawesi Selatan mengekalkan status quo dalam konflik perebutan takhta membabitkan Pemerintah Gowa, Adnan Purichta Ichsan Yasin Limpo dan keluarga diraja daerah itu.

Ketua Polis Sulawesi Selatan, Anton Charliyan berkata, polis menguasai istana Balla Lompoa di Gowa pada Jumaat lalu bagi menghalang konflik antara kedua-dua pihak berlarutan.

“Kami memberitahu kedua-dua pihak bahawa polis mengekalkan status quo di Balla Lompoa dan mereka bersetuju.

“Mulai Jumaat istana ini dikawal oleh anggota polis,” katanya yang dipetik Jakarta Post.

Menurutnya, barang kebesaran diraja Gowa juga dikawal oleh polis.

Konflik itu bermula apabila Adnan dilantik Institusi Adat Gowa (LAD) pada 9 September lalu dan mengikut undang-undang LAD berperanan serta mengambil alih tugas raja Gowa.

Tidak sampai sehari dilantik, Andan dilaporkan mengarahkan beberapa barang kebesaran diraja yang dijaga raja Gowa, Andi Maddusila Andi Idjo dirampas.

Andi Maddusila ditabalkan sebagai raja Gowa ke-37 beberapa bulan lalu.

Konflik memuncak pada sambutan Aidiladha lalu apabila Adnan mengambil alih satu istiadat menyucikan barangan kebesaran itu yang secara tradisinya dilaksanakan oleh keluarga diraja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 8:10 AM