FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Sedar tak sedar, sudah berpuluh tahun bekerja, patutlah rasa lemau dan lesu agaknya. Bak kata pepatah moden, kereta lama dah jauh berjalan, enjin mungkin dah sangat barai dan casis dah mula berkarat.

Bila diingatkan kembali pengalaman bertahun yang dijadikan buku panduan untuk terus bekerja sehingga ke pencen, banyak sangat masalah atau konflik dalam suasana di tempat kerja, tidak kiralah konflik itu di antara rakan sekerja atau dengan pihak atasan.

Kadang-kadang sebagai insan biasa terduduk juga dengan masalah yang ada, tapi akhirnya demi sesuap nasi, bangun kembali untuk sisa-sia kehidupan yang perlu diteruskan.

Konflik adalah satu bentuk pertentangan pendapat yang akan membentuk kepada satu persengketaan andai tidak diredakan atau ditamatkan.

Rata-rata atau sebilangan besar daripada kita mempunyai sama ada masalah, konflik dan bermacam situasi di tempat kerja, tidak kiralah sama ada bekerja sendiri, kerajaan atau swasta.

Masalah itu banyak puncanya, tidak kira permasalahan itu daripada diri sendiri, rakan sekerja atau pihak atasan kita atau polisi yang dibuat majikan atau ketua yang menjadi tunjang utama tempat atau organisasi pekerjaan kita.

Setiap permasalahan atau konflik itu akan membuatkan ketidakselesaan rutin pekerjaan yang dijalankan sehinggakan ada yang kemurungan dan mengambil langkah berhenti kerja atau pencen awal.

Ketidakselesaan itu akan merugikan diri, malah lebih buruk kepada syarikat, jabatan atau organisasi terbabit yang akan kehilangan pekerja berkualiti.

Malah, konflik juga adalah suatu elemen dalam kehidupan manusia sama ada di tempat kerja atau di luar tempat kerja. Ia tercetus disebabkan seseorang itu mempunyai kemahuan dan pengharapan yang sering bercanggah dengan kemahuan dan pengharapan orang lain sama ada majikan, rakan bekerja, keluarga atau individu lain yang perlu berurusan dengannya.

Definisi konflik adalah satu proses yang bermula apabila satu pihak menganggap satu pihak lain menghambar atau akan menghambar satu kepentingan dirinya. - (Thomas, 1976).

Definisi ini merangkumi jenis konflik antara individu dan terdapat tiga jenis konflik utama iaitu:

Konflik diri

Konflik ini bersifat persendirian atau antara diri sendiri. Dalam tugas dan kehidupan harian, anda perlu membuat keputusan yang membabitkan banyak alternatif.

Apakah sebabnya konflik begini boleh timbul? Pertama, anda terpaksa memilih antara beberapa alternatif yang bersesuaian. Keduanya, anda terpaksa memilih alternatif yang mempunyai kedua-dua kesan positif dan negatif. Ketiga, anda dihadapkan dengan alternatif yang mempunyai kesan negatif sahaja.

Konflik antara manusia

Konflik antara manusia berlaku di mana-mana sahaja terutama di tempat kerja. Sumber tidak mencukupi, percanggahan pendapat dan persepsi, tersalah anggap adalah antara sebab timbulnya konflik ini.

Ia berlaku apabila terdapat hubungan manusia terutama apabila mereka perlu berkomunikasi dan bekerja bersama untuk mencapai matlamat yang sama, tetapi berlainan peranan, tanggungjawab dan keperluan.

Konflik pasukan

Konflik ini bersifat persendirian atau antara diri sendiri. Dalam tugas dan kehidupan harian anda perlu membuat keputusan yang membabitkan banyak alternatif.

Apakah sebabnya konflik begini boleh timbul? Pertama, anda terpaksa memilih antara beberapa alternatif yang bersesuaian. Keduanya, anda terpaksa memilih alternatif yang mempunyai kedua-dua kesan positif dan negatif. Ketiga, anda dihadapkan dengan alternatif yang mempunyai kesan negatif sahaja.

Terdapat tiga jenis isu yang menyebabkan tercetusnya konflik antara manusia iaitu tidak setuju dengan maklumat/tujuan, tidak setuju dengan cara melakukan tugas dan tidak setuju dengan suatu keterangan/fakta.

Petunjuk konflik boleh dilihat apabila wujudnya sikap tidak bekerjasama, percanggahan personaliti, perbezaan matlamat, matlamat yang tidak cukup penjelasannya, rendah kemahiran mendengar serta penggunaan bahasa yang rendah.

Selain itu, wujud sikap mengabai perintah, kurang keterbukaan, kurang kerjasama, perbezaan pendapat tentang cara kerja, kekaburan kawasan tanggungjawab persendirian serta kekurangan maklumat berguna.

Banyak masa diberi kepada pekerja dalam melakukan tugas mengikut kepintaran mereka akan memberi kesan kepada konflik berkonstruktif. Ia disebabkan pengeluaran pendapat kreatif kerana pekerja berpeluang membentuk cara sendiri apabila kebebasan meningkat dan strukturnya menjadi rendah.

Konflik antara manusia mungkin berpunca akibat tersilap fahaman iaitu pekerja tersalah faham tentang apa yang perlu dicapai. Penyelia mesti berkomunikasi dan meminta maklum balas untuk mengurangi konflik begini (konflik antara manusia dan pengurusannya).

Perasaan seseorang terhadap orang lain mungkin berpunca daripada salah anggap. Konflik yang rumit untuk diurus berpunca akibat kepercayaan dan personaliti individu yang berbeza.

Penyelia sekurang-kurangnya cuba memahami nilai yang dibawa oleh pekerja dan menggunakannya dengan positif.

Konflik akan menyebabkan orang merasa tidak selesa. Terdapat pihak yang 'menang'dan 'kalah'. Orang kalah tidak menyokong keputusan yang dicapai dan mungkin membalas dendam atau sabotaj.

Orang yang menang mungkin terpaksa melaksanakan keputusan tanpa sokongan pihak yang kalah. Keputusan yang dicapai mungkin lebih rendah kualitinya berbanding keputusan yang dicapai daripada konflik diselesaikan dengan baik.

Kesan konflik turut membabitkan tekanan dan stres, sekali gus menjejaskan kesihatan individu. Cuba kurangkan tekanan ke peringkat yang paling rendah sekali supaya orang yang menerima tekanan boleh menghadapinya tanpa disorder.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:15 AM