TARIAN Ampuk -Ampuk Bulan yang dipersembahkan memukau penonton.
TARIAN Ampuk -Ampuk Bulan yang dipersembahkan memukau penonton.
Ruhaiza Rusmin

Tidak terlintas di fikiran Farah Shahira Zailan, 21, akan berpeluang mewakili negara mempromosi budaya Melayu Malaysia ke Indonesia.

Anak kelahiran Temerloh ini meminati bidang tarian dan teater sehingga memilih Seni Persembahan Drama sebagai bidang pilihan untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya (UM).

Farah antara siswa dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah UM yang dijemput khas Kabupaten Indragiri Hilir, Riau untuk menyertai Festival Bumi Sri Gemilang, baru-baru ini.

Ia acara tahunan yang diadakan sejak 15 tahun lalu sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia.

“Festival ini antara usaha memperkembang dan melestari kegiatan seni budaya dalam kalangan anak muda Nusantara agar tidak ditenggelami zaman,” kata Bupati Indragiri Hilir, HM Wardan, pada majlis perasmian.

Festival disertai kumpulan kesenian dari seluruh pelosok Indonesia selain jemputan khas dari Malaysia dan Singapura.

Menariknya, pasukan Malaysia yang diwakili siswa UM satu-satunya bukan penari profesional, namun persembahan tarian Ampuk-Ampuk Bulan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Pegawai Kebudayaan Kanan Pusat Kebudayaan UM Aida Nurul Ain Abd Rahman yang mengiringi delegasi itu berkata, persembahan itu sangat membanggakan biarpun mereka tiada latar belakang seni.

“Walaupun hanya berlatih seminggu, mereka menunjukkan komitmen tinggi hingga berjaya menampilkan persembahan memukau penonton,” katanya.

Peserta juga berpeluang melawat Dewan Kerajinan Nasional (DEKRANAS) Indragiri Hilir yang menempatkan hasil kraftangan tempatan seperti hasil tenunan songket.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:01 AM