DEMONSTRASI  basikal BMX yang mendebarkan.
DEMONSTRASI basikal BMX yang mendebarkan.
PESERTA Youthzibition dengan karya grafitinya.
PESERTA Youthzibition dengan karya grafitinya.
PENGUNJUNG kios GenY mengambil bahagian dalam pertandingan diadakan.
PENGUNJUNG kios GenY mengambil bahagian dalam pertandingan diadakan.
SELEBRITI berkongsi tip keusahawanan.
SELEBRITI berkongsi tip keusahawanan.

Festival Youth United 2014 berlangsung dalam suasana meriah di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor baru-baru ini terutamanya dengan pembabitan generasi muda yang terbabit dengan pelbagai acara diadakan.

Festival disokong jenama telefon bimbit Honor 6 menawarkan satu hari yang penuh dengan aktiviti dan pengisian bermakna untuk belia dari pelbagai latar belakang.

Ada pengunjung yang datang bersama keluarga dan rakan untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti selain melihat pelbagai pameran serta pertunjukan disediakan.

Antara aktiviti mendapat perhatian ramai pengunjung adalah pertandingan futsal intervarsiti yang menyaksikan 32 pasukan terdiri siswa dari beberapa kolej dan universiti tempatan berentap untuk memenangi hadiah berjumlah lebih RM100, 000.

Pasukan Universiti Malaya tampil juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 selain hadiah lumayan lain.

Beberapa selebriti tempatan seperti Fahrin Ahmad, Roy Azman, Azrul Zaidi dan beberapa selebriti lagi juga turut serta dalam perlawanan persahabatan bagi memeriahkan acara.

Gerai berkonsep bazar yang menjadi kegemaran orang muda sekarang ini juga disediakan.

Selain bazar yang dibuka oleh peniaga muda, beberapa selebriti tanah air seperti Intan Ladyana, Raja Farah dan Sharnaaz Ahmad turut membuka gerai jualan mereka di bahagian Bazar Selebriti.

Peminat muzik pula bersemangat menyaksikan pertandingan akhir Battle of the Bands yang memperlihatkan kumpulan yang berjaya mara ke peringkat final mempersembahkan bakat mereka di atas pentas.

Selepas menunjukkan bakat bermain alatan muzik dan penyampaian vokal yang hebat kumpulan Heart A-Tack dipilih sebagai juara dan mendapat kontrak rakaman bernilai RM25, 000 dan wang tunai berjumlah RM5, 000.

Permainan komputer yang sebati dengan belia juga tidak dilupakan. Ratusan pengunjung mengambil bahagian dalam permainan komputer disediakan melalui telefon Honor 6 sebagai panel kawalan dan menyaksikan 100 siswa menunjukkan skil mereka bermain permainan Asphalt 8.

Bukan untuk berhibur semata-mata, Festival Youth United 2014 juga memberi peluang kepada belia menimba ilmu berguna dalam keusahawanan, kesihatan dan sebagainya melalui sesi perkongsian pengalaman oleh selebriti, usahawan berjaya dan badan bukan kerajaan ( NGO).

Sisipan Gen Y Harian Metro turun padang dan terbabit dalam Youthzibition yang memberi peluang kepada orang muda menampilkan minat dan kebolehan hebat mereka dalam dunia fotografi, seni reka, rekaan fesyen, ciptaan elektronik dan lukisan.

Kebanyakan penyertaan adalah dalam segmen fotografi, lukisan dan seni reka. Hasil karya mereka dipamerkan kepada pengunjung dan pemenang dipilih melalui undian pengunjung.

Kios Youthzibition oleh Gen Y juga meriah dengan jualan akhbar, aktiviti menarik dan pelbagai pertandingan untuk belia.

Festival ini juga menobatkan 10 siswa dari 10 kampus yang dilawati siri jelajah Youth United.My sebagai Honor's Campus Ambassador.

Siswa yang terpilih Muhammad Azry Azhar,19  adalah pelajar diplom  jurusan pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.

"Kawan saya mencalonkan nama saya untuk menjadi  salah seorang Honor's Campus Ambassador dan saya menerima cabaran mereka itu kerana saya ingin menimba ilmu dan juga berkongsi pengalaman dengan rakan sekampus nanti untuk kebaikan bersama.

"Saya berazam memberi impak positif kepada imej Unisel dan melakukan lebih banyak lagi kerja amal dan aktiviti yang berfaedah kepada komuniti sekeliling," katanya.

Festival yang julung kali diadakan ini diakhiri dengan persembahan artis terkenal seperti Bunkface, Hyper Act, Hunny Madu, Kyoto dan Protocol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:06 AM