KEHADIRAN tetamu kehormat memberikan sokongan.
KEHADIRAN tetamu kehormat memberikan sokongan.

Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menganjurkan Festival ‘Research & Innovation Towards Integration and Sustainablity’ (RINTIS), baru-baru ini.

Festival itu bertujuan memberi peluang kepada siswa tahun akhir mempamerkan hasil karya seni mereka dalam pelbagai bidang.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Dr Mohd Nazari Yaakob berkata, RINTIS menjadi platform kepada siswa tahun akhir itu menembusi pasaran industri.

“RINTIS 2016 turut menyediakan laluan kepada mereka mempromosi seni melalui penyelidikan dan idea kreatif kepada pihak swasta, pelajar sekolah dan masyarakat.

“Kami di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang ingin bekerjasama dengan USM untuk mempromosikan hasil seni mereka khususnya kepada generasi muda,” katanya ketika merasmikan Festival RINTIS 2016 itu.

RINTIS 2016 memperlihatkan kemampuan siswa USM memenuhi kehendak dan keperluan industri sekali gus menarik minat dan membuka peluang mereka menceburi bidang pekerjaan berkaitan.

Dekan Pusat Pengajian Seni USM Prof Madya Mohamad Omar Bidin menyampaikan ucapan tahniah kepada siswa terbabit kerana berjaya menamatkan fasa pendidikan.

Selain berharap mereka dapat melepasi ujian dan cabaran dalam alam pekerjaan kelak.

RINTIS 2016 tampil dengan tema ‘Satu Platform Kreatif’ membabitkan penyertaan 186 siswa dari pengkhususan Seni Persembahan dan Pedagogi, Lakonan dan Pengarahan, Seni Halus, Grafik Komunikasi, Rekabentuk Teknologi Media Baru dan Rekabentuk Produk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 1:03 PM