AHMAD Zahid ketika berucap di majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid ketika berucap di majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia namun ia tidak boleh menggunakan singkatan nama parti Bersatu sebaliknya hanya PPBM.

Timbalan Perdana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan itu diberikan secara prinsip kerana parti itu perlu menjelaskan dengan lebih lanjut terlebih dahulu peranan Pengerusi dan Presiden parti, sebelum surat rasmi kelulusan dikeluarkan.

Beliau berkata, mengikut perlembagaan parti, Pengerusi berperanan mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi, manakala, Presiden mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden.

"Nama singkatan PPBM diluluskan selepas rundingan dilakukan antara parti itu dengan ROS, dan bukan Bersatu seperti yang dipohon di peringkat awal," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Katanya, Bersatu tidak boleh digunakan kerana ada enam parti politik di negara ini yang menggunakan perkataan Bersatu pada parti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 11:19 AM