GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang membubarkan sementara parti itu.

Hakim Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Beliau memutuskan bahawa permohonan itu sudah menjadi akademik kerana permohonan PPBM untuk melarang ROS daripada mengeluarkan perintah pembubaran berikutan ia sudah dikeluarkan pada 5 April lalu.

“€œDi dalam kes ini, PPBM memohon deklarasi bahawa mereka sudah memenuhi keperluan notis Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 dan menghalang ROS daripada mengeluarkan perintah pembubaran mengikut Seksyen 14(5) akta sama.

“€œPada pendapat saya, kedua-dua isu adalah dua perkara berbeza dan permohonan perlu difailkan secara berasingan. Tiada pertikaian bahawa mereka sudah memenuhi Seksyen 14(2) dan perintah pembubaran sementara pula sudah dikeluarkan,”€ katanya.

Beliau berkata, pemohon masih boleh mengemukakan permohonan semakan terhadap keputusan ROS membubarkan mereka.

Sementara itu, peguam Rosli Dhalan yang mewakili PPBM ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan baru.

Jabatan Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Jauhari dan Suzana Atan.

PPBM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim sebagai responden pada 5 April lalu.

Berdasarkan afidavit yang difailkan, Sharuddin memohon perintah untuk melarang responden daripada mengeluarkan perintah pembubaran secara salah dengan menyalahgunakan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 terhadap PPBM.

Beliau juga memohon perintah melarang responden untuk mengambil sebarang tindakan secara salah dengan menyalahgunakan peruntukan akta untuk menyekat PPBM daripada kekal wujud sebagai parti politik yang sah.

Selain itu, beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa PPBM sudah mematuhi semua keperluan ROS.

Beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa responden tidak mempunyai asas untuk mengeluarkan sebarang perintah pembubaran terhadap PPBM dan menghalang mereka menjalankan aktiviti sebagai parti politik yang sah berdaftar serta boleh bertanding Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada 5 April, Surayati mengadakan sidang media mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM.

Parti itu tidak dibenarkan menggunakan nama, logo atau melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti dalam tempoh pembubaran sementara itu.

PPBM juga diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, parti itu akan dibatalkan pendaftarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 6:13 PM