Bangunan yang terbakar musnah sepenuhnya.
Bangunan yang terbakar musnah sepenuhnya.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Sebuah bangunan akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Bario di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, bangunan menempatkan tujuh bilik darjah, satu bilik komputer dan dapur pra sekolah, musnah sepenuhnya, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, usaha pemadaman dilakukan penduduk kampung dan syarikat swasta yang mempunyai pam air berikutan tiada balai bomba di Bario.

Menurutnya, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri akan ke lokasi esok untuk pemeriksaan," katanya.

Difahamkan, sekolah itu mempunyai 89 murid tahun satu sehingga enam di sekolah berkenaan dengan 16 daripadanya adalah calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 9:23 PM