ISMAIL dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ISMAIL dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi Syariah di sini melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Ismail Yahya daripada dua pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan mempertikai arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula MAIDAM pada Oktober 2012.

Hakim Mohd Nazri Yusof membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sebelum ini, Ismail, 60, berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Mengikut pertuduhan pertama, Ismail yang juga bekas Mufti Negeri didakwa bertindak secara bertulis menghina MAIDAM melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 29 Oktober 2012 di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, di sini.

Mengikut pertuduhan kedua, Ismail pada tarikh dan tempat sama didakwa mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam yang memberi perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institut Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu.

Pendakwaan dijalankan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah manakala Ismail diwakili peguam,Saadiah Din dan Datin Rubiah Jaffar.

Ismail dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Terengganu pada 1 Julai 2004, sebelum menjadi Mufti Terengganu bermula 1 April 2006.

Pada 1 April 2008, beliau dilantik kembali sebagai Ketua Hakim Syarie negeri sebelum diarah bersara pada 28 Februari 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 2:11 PM