GAMBAR fail
GAMBAR fail
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran sesat boleh didenda dan dipenjara kerana mengingkari pihak berkuasa agama.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Wan Abd Malik Wan Sidek berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada pengasas atau pengikut yang terbabit dalam ajaran sesat.

Beliau yang juga Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu berkata, setiap ajaran perlu diwartakan dahulu sama ada ajarannya dibolehkan atau sebaliknya.

"Jadi, apabila ada yang mengamalkan sebarang ajaran termasuk yang sudah diwartakan sesat, tindakan boleh dikenakan.

"Dalam kesalahan melanggar fatwa, tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa boleh diambil.

"Kesalahan ini memperuntukkan mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu,sebuah hantaran di Facebook mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di Besut.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan

Pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74, atau Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua pada April 2016.

Ayah Pin adalah pengasas kepada "Kerajaan Langit" dan disenaraikan pihak berkuasa agama dalam kumpulan agama sesat yang berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai wakil "Tuhan" segala agama, manakala pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu berkenaan.

Berita berkaitan:

Cubaan hidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin dalam perhatian Kerajaan

Polis pantau cubaan hidupkan semula ajaran sesat

Tiga ajaran sesat masih 'bernyawa'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 11:55 AM