Siti Zarinah Sahib

BERSENAM dalam air sambil diiringi muzik rancak memang mengujakan walaupun pergerakan menjadi agak lambat kerana perlu ‘meredah’ kelikatan air. Namun ia memberikan manfaat kepada kesihatan. Selain keseronokan dan dapat mengurangkan tekanan, zumba aqua mampu memberikan harapan baru kepada individu yang mempunyai masalah berat badan, diabetes, sakit lutut dan pinggang.

Ini kerana golongan ini sememangnya tidak digalakkan melakukan aerobik atau bersenam berat di gimnasium. Bagi pesakit diabetes pula, mereka perlu memakai kasut renang khas bagi mengelak kaki tercedera.

Menurut jurulatih zumba aqua, Adasandha Anuar, daya apungan air ‘mengurangkan’ berat badan kita dan membolehkan tubuh kita terapung. Jadi tekanan ke atas kaki untuk memijak lantai adalah kurang. Bagaimanapun, kelikatan air itu memberi rintangan

sekali gus memaksa otot bekerja keras untuk bergerak. Rintangan ini jugalah yang membuatkan pergerakan menjadi perlahan dan ‘lembut’.

Disebabkan itu, senaman ini sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berat badan, diabetes, sakit sendi dan pinggang. Malah ibu mengandung juga digalakkan menyertainya kerana setiap pergerakan menjadikannya tidak berbahaya.

Diterajui jurulatih yang berada di atas tebing kolam renang manakala peserta di dalam air, senaman ini tidak memerlukan individu menghafal langkah tertentu, sebaliknya hanya perlu mengikut gerakan secara dinamik bersama rentak muzik dimainkan.

KESERONOKAN bersenam dalam air. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KESERONOKAN bersenam dalam air. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Setiap tarian mengikut kreativiti jurulatih dan dilakukan secara perlahan disebabkan tekanan air yang memberi impak kepada pergerakan. Namun halangan inilah yang memberi kebaikan kepada tubuh, selain membantu meningkatkan stamina dan kekuatan otot. Ini kerana di dalam air, jumlah pembakaran kalori meningkat tiga kali ganda berbanding senaman di gimnasium atau senamrobik.

“Zumba aqua boleh diibaratkan gimnasium dalam air dan tidak menggunakan sebarang peralatan, sebaliknya otot sebagai bebanan. Ia bagus untuk kecergasan otot teras kerana membabitkan pergerakan kaki dan tangan.

“Hayunan tangan dalam setiap langkah memberi kesan kepada kekuatan otot kerana secara asasnya, jika senaman ini dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh, ia mampu membakar kalori sehingga 900 berbanding senaman biasa sekitar 300 kalori saja,” katanya.

Setiap individu juga akan mengalami pembakaran kalori dalam kadar berbeza bergantung kepada berat badan, metabolisme, otot dan intensiti pergerakan.

Kelembapan semula jadi tubuh dalam air turut membolehkan individu bergerak dan membongkok dengan lebih mudah. Ini kerana tubuh kekal tenggelam manakala air akan bertindak sebagai kusyen dan ia dapat mengurangkan kecederaan.

“Dalam penjelasan lebih mudah apabila air mengalir dalam pelbagai arah, rintangan di kolam juga meningkat dua kali ganda. Ini bagi memastikan senaman memberi kesan terhadap otot,” ujarnya.

Mempunyai ramai peserta dalam kalangan wanita berusia 40-an ke atas, Adasandha mengakui golongan ini sememangnya memerlukan stamina untuk menguruskan keluarga dan pada masa sama, bekerja di pejabat. Daripada maklum balas peserta, mereka mengakui selepas mengikuti zumba aqua, tubuh lebih bertenaga dan segar. Ini bermakna mereka dapat menguruskan kerja di pejabat dan urusan keluarga dengan mudah.

2. ANGKAT kedua-dua tangan sambil mengangkat dua botol air di tangan kanan dan kiri.
2. ANGKAT kedua-dua tangan sambil mengangkat dua botol air di tangan kanan dan kiri.

Senaman ini juga adalah terapi terbaik untuk mereka yang mengalami masalah sendi malah beberapa kajian membuktikan pergerakan dalam air dapat mengurangkan keradangan sendi, kerana tekanan hidrostatik dari air bertindak seperti urutan.

Kebaikan senaman dalam air ini turut dirasai Alyza Khalid, 40, yang mempunyai masalah degupan jantung yang cepat sehingga menyebabkan dia mudah letih. Selepas dua kali menyertai senaman air ini dia mendapati kadar degupan jantung berada dalam keadaan normal. Ini kerana tekanan air meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan kadar denyut jantung.

“Keadaan ini berlaku disebabkan bersenam bersama kawan seusia dapat meredakan tekanan, memberikan rasa tenang dan gembira. Hormon ini sekali gus memberi kesan terhadap pengurusan kesihatan,” katanya. Dia semakin mencintai senaman air ini kerana kadar pembakaran kalori juga lebih banyak sekitar 400 berbanding zumba di darat.

Bagi Sharon Lam, 40, pula pengalaman menyertai zumba aqua sejak tiga tahun lalu dia mendapati kesakitan otot yang dialami di bahagian lutut dan sendi semakin berkurangan. Walaupun kurang berkesan untuk pengurangan berat badan namun dia tetap meneruskannya kerana menerusi senaman air dia mampu berjoging dan melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung disebabkan otot kakinya semakin kuat.

“Saya melakukan dua kali zumba aqua dalam seminggu. Ia menyeronokkan kerana selain bertemu rakan seusia kegembiraan ketika mengikut pergerakan jurulatih dapat mengurangkan tekanan. Malah ketika tubuh berada dalam air menjadikan pembakaran kalori lebih tinggi,” katanya.

Ramai mengakui zumba aqua lebih berkesan daripada melakukan zumba di darat. Walaupun otot menjadi letih, sendi perlu lebih bergerak kuat dan tekanan bermula daripada lutut, pinggul serta pergelangan kaki namun tubuh akan berasa lebih segar dan sihat selepas bermain air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 1:14 PM
ADASANDHA bertindak sebagai jurulatih senaman air.
ADASANDHA bertindak sebagai jurulatih senaman air.