Chua (tengah) bersalaman dengan sebahagian peserta projek yang mengambil bahagian dalam aktiviti Team Excellence sebaik tiba di Majlis Penutup Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah Pantai Timur di Hotel Perdana Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Chua (tengah) bersalaman dengan sebahagian peserta projek yang mengambil bahagian dalam aktiviti Team Excellence sebaik tiba di Majlis Penutup Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah Pantai Timur di Hotel Perdana Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Ismail Muhamad

Kota Bharu: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata, sebanyak RM119.5 juta anggaran penjimataan direkodkan hasil program peningkatan kualiti, inovasi dan produktiviti menerusi Konvensyen Team Excellence (KTE).

Katanya, jumlah itu diperoleh daripada 63 kumpulan yang mempersembahkan projek masing-masing dalam KTE peringkat Wilayah Pantai Timur.

KTE anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sudah diadakan sejak awal tahun sebagai pendekatan baharu dalam penambahbaikan produktiviti secara berkumpulan dan mewujudkan platform perkongsian.

"Jumlah penjimatan yang dianggarkan itu hasil 63 kumpulan daripada 36 organisasi sertai KTE merangkumi sektor perkilangan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan dan awam, di peringkat Wilayah Pantai Timur.

"Dengannya, ia mampu mendorong lebih banyak aktiviti pembangunan inovasi dan menggalakkan pertumbuhan produktiviti organisasi masing-masing.

"Konvensyen ini turut mendedahkan kaedah penyelesaian masalah dalam industri seperti Innovative & Creative Circle (ICC), Quality Enviroment (5S), Lean, Six Sigma, Material Cost Saving (MCS) dan Theory of Inventive Problem Solving (TRIZ)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah Pantai Timur di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah MPC Datuk Mohd Razali Hussain dan Pengarah Pejabat MITI Kelantan dan Terengganu Azran Deraman.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:32 PM