MANGSA maut selepas motosikal dirempuh ketika cuba membelok ke kanan. FOTO ihsan Polis
MANGSA maut selepas motosikal dirempuh ketika cuba membelok ke kanan. FOTO ihsan Polis
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Lelaki warga emas maut tercampak sejurus motosikal ditunggang dirempuh kereta di Kilometer 142 Jalan Johor Baharu-Melaka, Parit Sempadan Semerah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kejadian 6.47 petang itu menyebabkan Hasnan Ganon, 72, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika Hasnan yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menghala ke Semerah.

"Sebaik melalui lokasi kejadian, mangsa cuba membelok ke kanan simpang jalan dan pada masa sama datang kereta dari arah sama melanggar belakang motosikalnya.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak di atas jalan dan maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta bergelar Datuk hanya berseorangan di dalam kereta terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 11:48 AM