AZURA jurubekam khusus untuk wanita.
AZURA jurubekam khusus untuk wanita.

Berbekam bukan saja amalan Rasulullah SAW malah kajian saintifik menunjukkan ia mampu mengawal pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout, migrain, resdung, strok, sakit jantung juga lemah sendi.

Kajian Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail, membuktikan berbekam mampu menurunkan kadar gula dalam darah, malah turut mengaktifkan semua parameter fungsi ginjal seperti serum urea, kreatinin dan asid urik.

Di samping itu, serum trigliserida iaitu sejenis lemak dalam darah dan tekanan darah sistolik juga menunjukkan penurunan. Faktor Antigen Von Willebrand (VWF) iaitu sejenis bahan yang menentukan keanjalan salur darah turut menurun.

Paras kolesterol yang sering dikaitkan dengan masalah jantung turut mengalami penurunan jika berbekam dijadikan amalan.

Bagi kaum wanita, berbekam terbukti boleh menangani pelbagai ‘masalah orang perempuan’ seperti haid tidak teratur, senggugut dan kesuburan.

Malah, bagi yang mementingkan kecantikan, rawatan alternatif itu menjadi pilihan untuk merawat wajah bermasalah atau mengekalkan keanggunan.

Tidak hairan jika berbekam kini kian menjadi pilihan wanita sehingga boleh dijadikan cabang perniagaan bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Ia diakui jurubekam wanita, Nor Azura Idris, 27, yang ternyata tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan untuk mendapatkan rawatan bekam.

Azura yang berkelulusan ijazah sarjana muda seni lukis dan seni reka logam halus sanggup berhenti kerja sebagai pereka grafik untuk menjadikan rawatan bekam sebagai kerjaya.

Menceritakan pembabitannya dalam rawatan bekam yang ternyata tersasar jauh daripada apa dipelajari di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azura berkata, dia mula berminat dengan bidang ini ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi itu di Shah Alam.

“Saya memang meminati seni halus dan bercita-cita menceburi bidang itu selepas memperoleh ijazah. Tapi, apabila mengenali rawatan bekam, kecenderungan saya tiba-tiba berubah.

“Ia bermula apabila saya rajin mengunjungi pusat rawatan bekam yang kebetulan tidak jauh dari kampus. Sambil melihat proses rawatan berbekam di situ, saya ambil kesempatan belajar ilmu bekam dengan pengamal rawatan di pusat berkenaan.

“Niat saya pada awalnya sekadar suka-suka bagi menambah pengetahuan. Lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan bidang ini dan mula mendalami ilmu berbekam secara serius dengan menyertai kursus di sebuah pusat rawatan di Bangi sehingga memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

“Sijil yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia melayakkan saya untuk melakukan rawatan. Oleh itu, selepas tamat belajar dan bekerja, saya jadikan rawatan bekam ini sebagai pekerjaan sampingan pada hujung minggu.

“Sejak dua tahun lalu, melihat rawatan bekam semakin mendapat sambutan, saya berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian pada bidang ini,” ujar Azura.

Menurut Azura, selain menerima pelanggan di pusat rawatannya di Pandan Mewah, Kuala Lumpur, dia lebih banyak melakukan rawatan secara bergerak di sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan pelanggan saya lebih selesa mendapatkan rawatan di rumah mereka sendiri atas beberapa faktor seperti jarak pusat rawatan yang jauh, kekangan masa serta terikat dengan komitmen keluarga,” katanya.

Azura yang turut mempunyai kepakaran mengurut termasuk urutan selepas bersalin memberitahu, dia merawat antara empat hingga lima pelanggan sehari. Mereka terdiri daripada remaja berusia 15 tahun hingga wanita 35 tahun.

“Kebanyakan pelanggan yang mendapatkan khidmat saya ialah mereka yang menghadapi haid tidak menentu, senggugut, kesuburan dan masalah wajah.

“Bagi yang menghadapi masalah haid atau senggugut, mereka digalakkan menjalani rawatan bekam seelok-eloknya tiga atau empat hari sebelum datang haid. Rawatan ini menyebabkan darah haid mereka lebih lancar dan dengan sendiri mengatasi masalah yang dihadapi.

“Untuk rawatan wajah, kebanyakan kes ialah masalah jerawat kronik sehingga mengeluarkan nanah. Dalam kes sebegini, kaedah berbekam membolehkan ia menyedut keluar nanah dan kuman akibat jangkitan.

“Namun, bagi yang tidak menghadapi sebarang masalah wajah, mereka menjadikan amalan berbekam untuk menjaga kesegaran muka dengan menyingkirkan sel mati pada wajah,” ujarnya. - Rodly Fadly

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:04 AM