Muhamad Hafizie diiringi anggota polis selepas didakwa  di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas tuduhan membunuh neneknya di Felda Penggeli Timur, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Muhamad Hafizie diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas tuduhan membunuh neneknya di Felda Penggeli Timur, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Penganggur berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh neneknya di Felda Penggeli Timur di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Hafizie Azmee, 19, menganggukkan kepala dan berkata 'faham' sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Maimon Abdul Samad, 76, di rumah beralamat No 45, Jalan Biru 1, Felda Penggeli Timur di sini, antara 6 pagi hingga 6.30 petang, 9 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafiuddin memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

"Pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh dirujuk ke pakar psikiatri untuk menentukan sama ada dia sempurna akal atau tidak sebelum perbicaraan dijalankan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula dan mengarahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dirujuk ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Sementara itu, sepanjang prosiding, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang, namun mulutnya dilihat terkumat-kamit dan sesekali tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 2:27 PM