Timbalan Pengarah JKDM Terengganu, Radzi Mohamad (dua kiri) menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media di pejabat JKDM Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Timbalan Pengarah JKDM Terengganu, Radzi Mohamad (dua kiri) menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media di pejabat JKDM Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas sebanyak 4,020 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai hampir RM500,000 di Kilometer 44 Kampung Jambu Bongkok, Dungun semalam.

Timbalan Pengarah JKDM Terengganu Radzi Mohamad berkata, sepasukan pegawai JKDM yang menerima maklumat mengenai kehadiran sebuah van jenis Toyota Hiace kira-kira jam 6.30 pagi bergegas ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, pemandu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu melarikan diri ke dalam semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota.

"Pemeriksaan lanjut menemui 4,020 karton rokok dan siasatan awal mendapati van berkenaan berdaftar di sebuah syarikat di Selangor dan mendapati ia tidak wujud," katanya pada sidang media di JKDM Terengganu.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya turut merampas 94 karton rokok bernilai RM10,420.42 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Amar, Bandar Permaisuri, Setiu jam 5 petang kelmarin.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pemilik kedai berkenaan.

"Lelaki terbabit direman selama sembilan hari mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala van berkenaan disita mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 12:27 PM