Tan Sri Khalid Abu Bakar

Dalam memelihara keselamatan serta mengekalkan keamanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan untuk memperkasakan sumber manusia serta menghalakan gerak kerja dan inisiatif berpandukan 3 fokus utama iaitu:

1. Mengekalkan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat

2. Mengawal serta mengekang jenayah melalui pencegahan dan penyiasatan berkesan

3. Memantapkan integriti dan pematuhan standard

Bagi merealisasikan hasrat murni ini, tiga buku sudah diterbitkan sebagai panduan dan hala cara strategi pasukan:

1. Kod Etika Polis Diraja Malaysia (PDRM)

2. Pelan Integriti Polis Diraja Malaysia 2016-2020

3. Manual Pematuhan Standard

Sejarah sudah membuktikan kemusnahan sesuatu bangsa atau negara berpunca daripada kereputan akhlak pentadbir dan penguasa.

Ia jelas terbukti dengan sejarah keruntuhan tamadun Islam di Andalusia, India dan Turki berpunca antara lainnya, daripada gaya hidup yang mementingkan kemewahan, keseronokan dan kekuasaan.

Begitu juga dengan kejatuhan Kerajaan Melaka selepas kematian Tun Perak, antara lain disebabkan oleh kemerosotan akhlak pegawainya yang boros, mementingkan keuntungan diri, mengejar kemewahan, memperagakan kekayaan, sombong dan mengabaikan amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Akhirnya, Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Sejarah ini memperlihatkan betapa pentingnya penerapan nilai murni di kalangan pentadbir dan penguasa kerajaan kerana jelas, kejujuran, keikhlasan, amanah dan kesabaran memainkan peranan yang kritikal dalam menentukan kecemerlangan atau kemunduran sesuatu bangsa dan negara.

Dalam artikel ini, saya akan berkongsi sedikit sebanyak berhubung ketiga-tiga buku panduan yang disebut di atas, agar pembaca dapat memahami dan menghargai inisiatif PDRM dalam memperkasakan sumber manusia ke arah mencapai visi dan misi pasukan.

Kod Etika PDRM

Dengan peruntukan kuasa undang-undang yang luas, PDRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa utama yang bertanggungjawab mengenai keselamatan dan ketenteraman awam, hendaklah berkhidmat berlandaskan etika kerja dan integriti yang tinggi. Setiap tingkah laku hendaklah berasaskan kepada nilai murni yang diperaku dan diterjemahkan melalui Kod Etika PDRM.

Kod Etika PDRM yang baru bagi menggantikan kod etika sebelumnya adalah berlandaskan konsep PRINSIP yang diterjemahkan sebagai:

• Prihatin dan komited melaksanakan fungsi PDRM;

• Responsif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat

• Integriti sebagai teras perkhidmatan

• Semangat satu pasukan menjadi budaya ke arah mencapai misi dan visi

• Inovatif dan kreatif menjadi amalan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan

• Profesional ke arah merealisasikan Kepolisan Moden

Kod Etika PDRM ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan PDRM seiring dengan tanggungjawab sosial, perundangan dan peraturan serta dijadikan garis panduan berhubung dengan sikap dan tingkah laku semasa melaksanakan tugas dan amanah. Ia juga menjadi asas penghayatan nilai dan moral dalam membanteras rasuah, salah laku, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Pelan Integriti PDRM 2016-2020

Pelan ini adalah kesinambungan kepada inisiatif sebelumnya iaitu Pelan Integriti PDRM 2007-2010 dan 2010-2015. Ia menjadi pemacu budaya organisasi berpaksikan integriti dan pematuhan standard. Pelan integriti PDRM 2016-2020 ini adalah penambahbaikan pelan integriti sebelumnya, di mana fokus keutamaan adalah ke arah peningkatan integriti, pematuhan standard perkhidmatan PDRM dan mensejahterakan institusi berkeluarga dalam memberi perkhidmatan kepolisan moden kepada masyarakat.

Pelan Integriti ini bertujuan membentuk warga PDRM yang berintegriti ke arah kepolisan moden, menutup ruang dan peluang salah laku di kalangan warga PDRM melalui pematuhan etika kepolisan dan standard yang ditetapkan serta meningkatkan imej, perkhidmatan kepolisan dan profesionalisme warga PDRM.

Pelan Integriti 2016-2020 mempunyai enam nilai teras sebagai pemangkin kepada jati diri dan sahsiah diri iaitu integriti, bermoral, keagamaan, kerohanian, beretika dan profesionalisme. Ia akan menjadi satu hala tuju strategik dalam membudayakan integriti secara holistik agar PDRM terus membuahkan keberhasilan rasa selamat yang mampan di kalangan masyarakat.

Terdapat 5 Teras Strategik bagi Pelan Integriti PDRM 2016-2020 ini iaitu:

1. Memantapkan pengurusan pentadbiran dan pematuhan standard

2. Meningkatkan keberkesanan sistem perkhidmatan penyampaian

3. Memantapkan pengurusan sumber manusia

4. Memperkasakan imej PDRM ke arah kepolisan moden

5. Mensejahterakan institusi keluarga

Manual pematuhan standard

Manual Pematuhan Standard PDRM adalah antara inisiatif ke arah mentransformasi pasukan secara holistik dalam memperkasakan integriti warga PDRM, selari dengan dasar nasional untuk mewujudkan pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam yang cekap, berdisiplin serta berintegriti tinggi.

Manual ini menjadi garis panduan berbentuk dokumen bertulis berdasarkan kepada sumber rujukan seperti berikut:

• Pekeliling Perkhidmatan

• Perintah Tetap Ketua Polis Negara

• Standard Operating Procedure

• Arahan-Arahan Pentadbiran

• ISO 9001:2008

• Manual Prosedur Kerja

• Job description

Manual ini juga menjadi mekanisme ‘kawal selia’ dalam memastikan pematuhan kepada semua arahan, peraturan dan undang-undang yang terpakai. Objektif manual ini adalah:

• Mewujudkan perkhidmatan kepolisan moden yang berintegriti;

• Meningkatkan kualiti serta prestasi pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepolisan, seiring dengan tuntutan masyarakat terhadap pasukan PDRM sebagai pelindung utama negara;

• Menyediakan sistem kerja kepolisan yang berteraskan pematuhan standard yang telah ditetapkan, dan

• Mengenalpasti tindakan pencegahan serta pemulihan bagi mengatasi isu integriti pasukan.

Sementara prinsip yang terkandung dalam Manual Pematuhan Standard PDRM termasuklah kesetiaan, kepemimpinan, akauntabiliti, tepat dan berkesan, konsisten serta telus dan adil.

Manual ini penting dalam membentuk budaya kerja yang dapat membantu dalam mencapai penguasaan pengetahuan serta menjadi ‘pelindung’ paling efektif kepada warga polis yang kompeten. Melalui pematuhan standard yang ditetapkan, setiap warga PDRM akan menjadi lebih cekap, tepat dan yakin dalam membuat keputusan, melakukan sesuatu tugas yang betul dan berkesan, berpandukan prosedur dan proses kerja yang jelas dan nyata. Ia juga dapat membantu dalam menghasilkan ‘outcome’ yang konsisten, standard dan seragam. Hasilnya, tahap ‘error’ dapat diminimakan, selain bertindak sebagai ‘damage control’ yang efektif dalam pelaksanaan tugas dan fungsi kepolisan moden. Manual ini juga dapat mengenal pasti risiko serta menutup ruang berlakunya penyelewangan dan salah laku dengan pantas dan betul.

Pelaksanaan manual pematuhan standard ini, membuktikan komitmen pucuk pimpinan dalam konteks kawal selia dalaman PDRM. Prinsip kepolisan moden yang berpegang kepada konsep, Polis Adalah Masyarakat, Masyarakat Adalah Polis, menjadi asas dan pegangan PDRM dalam memastikan pasukan sentiasa disanjungi, dipercayai dan diyakini masyarakat.

Saya yakin ketiga-tiga dokumen panduan ini dapat melonjakkan lagi usaha PDRM ke arah mencapai tahap profesionalisme yang lebih tinggi, disokong oleh warga kerja beretika, berintegriti serta menghormati peraturan dan undang-undang. Semoga Allah mempermudahkan segala usaha dan niat murni kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 2:56 AM