Keadaan kaki remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai didera ibu dan ayah tirinya. FOTO Syafiq Ambak
Keadaan kaki remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai didera ibu dan ayah tirinya. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Remaja lelaki berusia 17 tahun menanggung derita hampir enam tahun selepas dipercayai didera ibunya dalam kejadian di Kampung Wakaf Dua, di sini.

Remaja yang juga anak ketiga daripada empat adik beradik itu turut dipercayai menjadi mangsa dera bapa tirinya.

Menurut sumber, penderitaan mangsa terbongkar apabila abangnya berusia 18 tahun menceritakan perbuatan ibu dan bapa tiri mereka kepada salah seorang kenalannya.

Katanya, abang mangsa membawa adiknya ke klinik di Chendering, Kuala Terengganu selepas melihat keadaan mangsa yang semakin teruk sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kira-kira jam 4.20 petang semalam.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di seluruh badan mangsa sebelum remaja terbabit memaklumkan sering didera ibu dan ayah tirinya.

"Pihak hospital kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, ibu dan ayah tiri mangsa masing-masing berusia 35 dan 46 tahunditahan pagi tadi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 1:50 PM