KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahlinya ketika pandemik Covid-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli.

Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

Langkah lain termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuatkuasa April 2020 hingga Disember 2020.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang ditujukan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta.

"Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, KWSP juga muncul sebagai pelabur institusi pertama yang mewujudkan mandat pelaburan langsung / pelaburan bersama Ekuiti Persendirian patuh Syariah terbesar di dunia, dengan pelancaran Akaun Terurus Berasingan, bernilai AS$600 juta.

"Ini adalah berita baik untuk dana Simpanan Shariah KWSP, yang mana baki simpanan ahli telah melepasi nilai RM100 bilion dan terus berkembang secara berterusan.

"Sehingga kini, terdapat 1.12 juta ahli KWSP yang telah memilih Simpanan Shariah sejak ia dilancarkan pada tahun 2016 untuk memenuhi permintaan ahli agar simpanan KWSP mereka diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 1:43 PM