Suzanne simpati dengan nasib sahabat baiknya.
Suzanne simpati dengan nasib sahabat baiknya.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Cristina Suzanne bersimpati dengan nasib yang menimpa sahabat baiknya Nadiya Nisaa apabila bayi di dalam kandungan pelakon itu disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun Cristina enggan bercerita lanjut mengenai perkara itu kerana ia membabitkan cerita peribadi Nadiya.

"Saya dapat tahu perkara in daripada teman rapat. Malah saya menghubunginya untuk bertanya khabar sahaja.

“Selebihnya saya tidak mahu tanya kerana memahami situasi yang dilalui Nadiya.

"Sebagai kawan, saya tahu batas. Kalau boleh biarlah dia bercerita sendiri nanti. Apa yang saya boleh lakukan adalah memberikan kata-kata semangat,” katanya yang memaklumkan bayi dalam kandungan Nadiya berusia lapan bulan.

Sambung pelakon filem Kil itu lagi, dia yakin Nadiya kuat dan tabah menghadapi ujian itu.

"Saya pun tak berani nak ulas lebih sebab tak pernah ada pengalaman sebegitu. Cuma apa yang saya tahu, dia seorang yang cekal hati

"Buat masa ini berilah dia masa untuk berehat. Sebolehnya jangan bertanya lagi kepadanya mengenai perkara ini. Bukan saja dia, malah orang-orang sekeliling yang rapat dengannya pun turut bersedih," katanya.

Cristina turut memaklumkan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Ramadan lalu bersama beberapa rakan artis lain seperti Sharifah Amani dan Sherry Al Hadad.

Terdahulu berita sedih itu mula dikongsi peminat selepas mereka merakamkan ucapan takziah di laman Instagram milik Nadiya pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, satu kenyataan menerusi kiriman emel dikeluarkan keluarga pelakon filem Cun itu bagi menjelaskan apa yang berlaku.

"Bagi pihak Nadiya Nisaa sekeluarga, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas segala doa dan ucapan takziah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa berita ini amat menyedihkan, tetapi ia di luar kawalan sesiapa pun dan ketentuan Allah SWT.

Mujur, Nadiya berada dalam keadaan yang sihat secara fizikal dan kini sedang berehat.

"Oleh itu, kami mohon agar semua pihak memahami situasi Nadiya dan menghormati privasi beliau sekeluarga buat masa sekarang kerana sebarang berita yg diterbitkan berkenaan apa yang berlaku pasti akan mengguris hati beliau. Beliau meminta jasa baik semua untuk sedekahkan Al-Fatihah buat arwah. Terima kasih," kata wakil Nadiya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:36 PM