Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang duda anak satu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen sah, enam tahun lepas.

Lee Jan Wee, 32, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Wangsa Delima 5, KLSC 111, Wangsa Maju, di sini, pada 23 Ogos 2016 mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan Lee perlu melaporkan diri ke balai polis sehingga kes selesai.

Pertuduhan ke atas Lee dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Peguam Izzat Amir yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah diberikan atas alasan anak guamnya yang akan berkahwin pada bulan hadapan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menanggung seorang anak berusia tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan selain menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 5:04 PM