NONNY
NONNY
Ramlah Zainal


Sembilan tahun bergelar anak seni, pelbagai ujian sudah dilalui bagi menempatkan dirinya di persada seni tanah air.

Bukan sahaja tempias gosip, kontroversi juga hadir bersilih ganti menguji kecekalan anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini.

Namun, Nonny Nadirah Zainuddin atau lebih mesra disapa Noni tidak kenal erti putus asa mahupun kecewa.

Ternyata, lakonan mantapnya sebagai Aiza dalam drama bersiri Istikharah Cinta untuk slot Akasia, TV3 berjaya melonjakkan namanya.

“Saya angap gosip dan kontroversi sebagai lumrah anak seni.

“Setiap kontroversi yang melanda saya jadikan pengajaran sekali gus mematangkan diri,” katanya.

Ditanya soal persaingan, Noni sama sekali tidak gentar meskipun industri dibanjiri pendatang baru sebaliknya percaya dengan rezeki Allah SWT.

“Sebagai pelakon berpengalaman, saya menitikberatkan aspek kualiti dan bukannya mengejar populariti.

“Saya percaya apabila menjaga kualiti lakonan, populariti akan datang dengan sendirinya.

“Apa yang penting, kita berikan komitmen terbaik sepanjang penggambaran,” katanya.

Pelakon yang bakatnya digilap menerusi program realiti Akademi Fantasia 5 (AF5) ini tidak putus memenuhi undangan menjayakan pelbagai produksi termasuk teater.

Selepas pementasan teater Ombak Rindu dipentaskan di Istana Budaya, Noni beraksi dalam drama Lara Terindah di samping Nelydia Senrose dan Nazrief Nazri untuk TV3.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon tetap ada sampai sekarang.

“Saya akan kembali ke lokasi penggambaran pada Ogos nanti.

“Terbaru, saya bakal terbabit dengan program gameshow Lari Kita Kejar Dia untuk musim keempat di stesen TV9.

“Selain itu, saya juga akan menjayakan drama 13 episod untuk RTM tetapi masih dalam perbincangan,” katanya

Ceburi bisnes jaminan masa depan

Sebagai artis, Noni mengakui dia perlu bijak merencana masa depan.

Apatah lagi, berlakon periuk nasinya untuk menyara keluarga terutama selepas pemergian arwah bapanya, baru-baru ini.

“Selain berlakon dan menyanyi, saya juga berjinak-jinak dalam bidang bisnes.

“Sepanjang Ramadan lalu saya berniaga kecil-kecilan dan kerana itu tidak ambil sebarang penggambaran drama,” katanya.

Noni berkata, buat masa ini dia masih bercuti di kampung halamannya di Kota Kinabalu.

“Saya bercuti panjang kerana mahu menghabiskan masa bersama keluarga tercinta.

“Maklumlah, saya sudah lama tidak pulang ke kampung kerana terikat dengan penggambaran,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Noni mengakui dirinya sudah ada teman istimewa.

“Kami masih dalam proses mengenali hati budi.

“Insya-Allah, kalau ada jodoh pasti saya akan berkongsi berita baik apabila sampai masa nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:10 AM