Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pemandu Perodua Kancil dikenali Kemik yang dipercayai terbabit dalam kes tetak pemandu Honda City di Jalan Buluh Gading di sini, 7 Julai lalu dicekup, semalam.

Suspek berusia 31 tahun dari Kampung Kubang Jela, Manir ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira 11 malam semalam di hadapan premis di Bulatan Batu Bersurat, Jalan Sultan Ismail di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Julai depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh lelaki tidak dikenali di Jalan Buluh Gading selepas membunyikan hon kepada lelaki yang memotong keretanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 42 tahun yang memandu Honda City bersama isteri dan dua anaknya terkandas dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk beraya dari Kemaman ke Besut, pada 3.30 petang.

Berita berkaitan:

Abang ditahan, adik diburu

Hon punya pasal...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 6:28 PM