MOHD Al Muiizz dijatuhi hukuman penjara satu bulan kerana menikam punggung rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Al Muiizz dijatuhi hukuman penjara satu bulan kerana menikam punggung rakannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana menikam punggung rakannya.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Al Muiizz Ali Hassan, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera atas bangkitan marah dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama abangnya, Mohd Al Basiri, 30, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohd Harif Awang, 38, atas bangkitan marah di Kampung Buluh Gading, Manir, Kuala Terengganu, 3 petang pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, Mohd Al Basiri mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan Mohd Al Basiri diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kesalahan itu, Mohd Al Basiri berdepan hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, bapa mangsa yang berada di rumah di Kampung Buluh Gading, Manir dimaklumkan anak lelaki (mangsa) ditikam di bahagian punggung oleh dua rakannya.

Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kubang Jela, Manir sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Susulan laporan dibuat bapa mangsa di Balai Polis Manir, dua tertuduh ditahan di sebuah rumah di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir 2.30 petang pada 12 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:33 PM