PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong di Seri Perdana hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong di Seri Perdana hari ini. FOTO Bernama
Hayati Ibrahim dan Meor Riduwan Meor Ahmad


Putrajaya: Projek Kereta Api Laju (HSR) antara Malaysia dan Singapura bakal direalisasikan tidak lama lagi menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara berkenaan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Presint 10, di sini, hari ini.

MoU ditandatangani Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mewakili Malaysia manakala Singapura diwakili Menteri Penyelaras Prasarana dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

MoU itu akan diadakan sempena lawatan kerja sehari Lee ke Malaysia hari ini.

Cadangan laluan sepanjang 350km itu yang akan bermula di Bandar Malaysia, tujuh kilometer dari pusat bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong Timur, Singapura.

Ia dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada kira-kira 90 minit daripada kira-kira lima jam mengikut jalan raya.

Perkhidmatan tren yang dicadangkan itu dijangka mempunyai lima stesen transit iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Cadangan projek HSR diumumkan kali pertama pada Februari 2013 oleh Lee dan Najib pada satu permukiman pemimpin.

Projek berkenaan akan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat dan juga rangkaian perniagaan antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 3:22 PM