ISMAN.
ISMAN.
Nor Akmar Samudin


Kali pertama penyanyi kumpulan nasyid Hijjaz, Isman Nadim Isam mendengar Ustaz Fathi Naim mengalunkan azan Subuh dan sesudah solat menyampaikan tazkirah yang diselang-seli zikir dan doa, dia terus jatuh hati dengan kemerduan suara itu.

Pertemuan secara kebetulan di sebuah masjid di Subang, Selangor itu menjalin ikatan persahabatan antara dua insan terbabit.

Selesai sahaja Fathi memberikan tazkirah, Isman mengajak jejaka itu bersarapan bersama dan daripada perbualan yang asalnya biasa-biasa, Fathi rupa-rupanya ada misi tergalas di bahu.

Dia tenaga pengajar Madrasah Tarbiyah Islamiyah Darul Hijrah Kompleks Tahfiz dan Anak-Anak Yatim di Cendering, Terengganu. Selain mencurahkan ilmu kepada 142 pelajar, dia ditugaskan mencari RM60,000 sebulan bagi melunaskan perbelanjaan penyelenggaraan sekolah, makan minum pelajar, segala jenis bil dan gaji 20 tenaga pengajar.

Menurut Fathi, dia kini berada di Kuala Lumpur untuk mengumpul dana bagi pihak sekolah yang turut menerima sumbangan daripada orang ramai.

Antara usahanya, Fathi yang dikurniakan suara merdu merakamkan album zikir dua tahun lalu.

“Album ini dihasilkan bagi menampung dana sekolah apabila setiap hasil jualannya terus disalurkan ke tabung sekolah. Kini saya tampil dengan album kedua berjudul Al-Azkar terbitan Isman, juga dengan tujuan yang sama.

“Saya sanggup berkorban demi madrasah. Untuk menyiapkan album ini saya berdepan pelbagai cabaran terutama dari segi masa.

“Sejak bertemu Isman, kami merancang menerbitkan album sejak tahun lalu tetapi masa tidak mengizinkan kerana saya sibuk memenuhi undangan ceramah kerana ia juga salah satu sumber rezeki untuk menampung perbelanjaan madrasah. Album ini hanya siap Mei lalu,” katanya.

Tambah Isman, memandangkan album itu mahu dipasarkan Ramadan lalu, dia terpaksa mengorbankan masa tidur untuk merakamkan semua lagu dan tazkirah.

“Kebanyakan rakaman dibuat selepas jam 12 tengah malam dan berlarutan sehingga pagi.

“Hanya itu masa yang saya ada kerana terikat dengan jadual ceramah di masjid termasuk mengetuai majlis qiamullail setiap hari. Walapun penat, saya berpuas hati dengan hasilnya. Album ini dijual di semua lokasi ceramah dan setakat ini sudah terjual lebih 3,000 unit,” katanya.

Fathi sebelum ini pernah mendalami ilmu agama di Sanaa, Yaman serta kini menyambung pengajian jarak jauh dalam jurusan syariah dan undang-undang Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim di Riau, Indonesia.

“Pengajian saya berbaki dua tahun lagi dan saya akan ke Riau sebulan sekali untuk berjumpa serta berbincang dengan pensyarah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 11:23 AM