BERNAMA

Kuala Lumpur: Kaji selidik terbaru SkootJobs.com mendapati 26.6 peratus responden terdiri daripada belia Malaysia tidak menyukai pekerjaan mereka.

Kaji selidik dalam talian itu yang membabitkan lebih 15,000 belia berusia antara 18 hingga 35 tahun, juga mendapati 33 peratus daripada mereka bencikan pekerjaan masing-masing dan 25.3 peratus lagi menyatakan 'OK' dengan pekerjaan mereka.

Hanya 8.7 peratus mencintai pekerjaan masing-masing, manakala 6.1 peratus lagi menyukai kerjaya masing-masing,.

Ketua pegawai eksekutif SkootJobs.com, Asim Qureshi, berkata: "Saya rasa keadaan kini semakin baik namun kaji selidik ini menunjukkan masih banyak penambahbaikan boleh dilakukan.

"Apa yang boleh saya katakan ialah kami dapati majikan semakin tekun berusaha berbanding beberapa tahun lalu untuk memasarkan diri mereka kepada pekerja.

“Kami dapat melihat perkara itu dari segi kualiti iklan yang mereka siarkan kerana mereka menyedari sekiranya ingin membina pasukan terbaik, mereka perlu menarik bakat terbaik dan berusaha gigih untuk mengekalkan bakat sedia ada."

Menurut David Fernandez, ahli psikologi yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman, Fernandez berkata cara paling mudah mengatasi masalah pekerja tidak gembira dengan pekerjaan mereka ialah membuat mereka berasa kehadiran di tempat kerja dialu-alukan dan memberi dorongan sewajarnya setiap masa.

Sementara itu, David Low dari LaunchPad, syarikat yang mencari bakat tempatan dan asing, berkata majikan Malaysia perlu melihat perkara itu sebagai pembuka mata.

"Kebanyakan syarikat menyalahkan pekerja yang gemar menukar pekerjaan walaupun tawaran diterima tidak sebaik mana, namun mereka perlu sedar mereka juga menjadi punca utama kerana tidak suka berbincang dengan bakat muda yang bekerja dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 6:26 PM