SAMSUNG Galaxy A9 Pro.
SAMSUNG Galaxy A9 Pro.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (Samsung) memperkenalkan telefon pintar terbaru Samsung Galaxy A9 Pro yang menawarkan skrin besar berdefinisi tinggi (HD) dan ketahanan bateri yang lebih lama.

Telefon pintar daripada Siri Galaxy A itu direka khusus bagi mereka yang gemarkan hiburan sepanjang hari dan dilengkapi dengan ciri-ciri yang mengungguli gaya penuh urban seperti simpanan lebih banyak, kamera berkeupayaan tinggi dan paling penting skrin lebih luas serta besar.

Naib Presiden Teknologi Maklumat (IT) & Unit Perniagaan Mudah Alihnya, Lee Jui Siang berkata, edisi terkini dalam keluarga Siri Galaxy A itu menampilkan segala-galanya yang diperlukan oleh pengguna dengan penuh bergaya.

Beliau berkata, generasi masa kini lebih gemarkan gaya mengikut trend dan sentiasa dikelilingi oleh hiburan dan sentiasa melihat cabaran dalam menghasilkan persekitaran yang menyeronokkan.

“Jadi, ini adalah apa yang dimiliki oleh Galaxy A9 Pro, ia adalah apa yang diperlukan oleh semua orang dalam memenuhi keperluan gaya hidup serta menjadi peneman setia kepada pemiliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Samsung Galaxy A9 Pro dilengkapi dengan paparan skrin penuh enam inci HD Super AMOLED dengan simpanan gambar lebih banyak dan video terkini.

Lebih menarik, bagi meraikan kehadiran model baru itu, Samsung Malaysia turut menawarkan pembeli kad memori microSD 64GB bagi setiap pembelian Galaxy A9 Pro, di mana ia dapat menyimpan hampir 16,000 gambar.

Selain itu, kapasiti bateri yang besar berkuasa 5,000 mAH dan pemproses pantas serta RAM 4GB menjadi peneraju utama bagi model telefon pintar itu yang mampu memainkan drama bersiri dan permainan mudah alih dengan mudah.

Fungsi kamera dengan kelebihan 16 megapiksel (MP) juga membolehkan pengguna mengambil gambar dengan hasil yang luar biasa, lebih cerah dan tajam di samping kualiti memberangsangkan dalam persekitaran sedikit gelap.

Samsung Galaxy A9 Pro kini boleh didapati di semua kedai Samsung Experience dan pengedar sah bermula semalam dengan harga runcit cadangan berharga RM1,999 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 7:21 AM