KEADAAN air Tasik Pedu yang surut ketika dirakam kelmarin. FOTO Amran Hamid
KEADAAN air Tasik Pedu yang surut ketika dirakam kelmarin. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah menggariskan enam langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah bekalan air kritikal di lima kawasan di negeri ini yang berlarutan sejak Februari lalu berikutan fenomena El Nino.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, enam langkah itu membabitkan penubuhan jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan secara bersama oleh EXCO Sumber Air, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lain-lain agensi dan jabatan berkaitan bekalan air.

"Selain itu, kita akan wujudkan telaga tiub dengan dibantu Jabatan Geo Sains di kawasan kritikal. Seterusnya kita akan laksanakan program air masyarakat yang akan dikendalikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk mempertingkatkan sistem penghantaran air.

"Pada masa sama kita akan berusaha mempertingkatkan sistem aduan Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain bercadang membekalkan tong statik berkapasiti 379 liter kepada keluarga tidak berkemampuan di setiap kawasan bermasalah air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas menangani isu bekalan air Kedah di Bangunan Wisma Darulaman, di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Azmi Din dan barisan EXCO negeri.

Katanya, sehingga kini terdapat lima kawasan dilaporkan mengalami masalah air kritikal membabitkan Merbok di Sungai Petani; Pokok Sena dan Padang Terap di Alor Setar, Baling serta Bandar Baharu di Kulim.

"Mesyuarat ini diadakan bukan bertujuan mencari salah siapa, tapi demi menyelesaikan masalah air yang dihadapi rakyat dan kita jangkakan masalah bekalan air ini dapat dikurangkan menjelang hujung tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 3:42 PM