Manchester, England: Pep Guardiola bagaikan sudah menduga dan apabila nama Jose Mourinho (gambar) disebut dalam sidang akhbar pertamanya sebagai pengurus baru Manchester City kelmarin, beliau enggan menyentuhnya.

“Ia bukan mengenai diri saya atau beliau,” kata pengurus berbangsa Sepanyol, sekali gus mengulangi apa yang Mourinho katakan di Manchester United, tiga hari lalu.

Perkara paling disentuh adalah mengenai kedua-duanya atau pertemuan pasukan mereka pada aksi persahabatan pramusim di China, 26 Julai ini selain pertemuan pertama kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), 10 September ini.

Jadi, Guardiola dan Mourinho yang kerap bertembung ketika masing-masing mengendalikan Barcelona dan Real Madrid, akan mendapati agak sukar untuk menjatuhkan diri daripada permusuhan lalu.

Walaupun tanda-tanda awal persengketaan mereka sudah bermula ketika Mourinho berada di Inter Milan dan Guardiola di Barcelona, kemuncak persaingan kedua-duanya semakin membuak apabila Mourinho berpindah ke Sepanyol pada 2010 untuk menjadi saingan kepada Guardiola.

Ketika pengurus berbangsa Portugis itu mengejar Barca, kedua-duanya saling bertukar kecaman dengan Mourinho mempersoalkan integriti pegawai perlawanan ketika seorang pemainnya dibuang padang buat kali kelima berturut-turut ketika menentang pasukan Guardiola.

Persengketaan itu berterusan sehingga akhir musim 2012 apabila Mourinho memenangi kejuaraan La Liga dan Guardiola meninggalkan Barcelona.

“Itu separuh daripada hidupnya tapi saya, tidak akan membalas dendam. Biarpun beliau lebih muda, saya tidak penat untuk menghadapi semua itu,” kata Mourinho.

Statistik menunjukkan Guardiola mempunyai kelebihan tujuh kemenangan ke atas Mourinho yang hanya menang tiga daripada 16 pertemuan mereka.

Bagaimanapun daripada pengalaman di La Liga sebelum ini, pengurus baru United itu tahu bagaimana untuk menyaingi pesaingnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:05 AM