FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Seorang anggota polis marin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Koperal Norhazeni Ahmad, 38, membuat pengakuan itu selepas mendengar jurubahasa membaca kertas pertuduhan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Roslan kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Norhazeni pada 26 Mei 2015 di sebuah kedai makan berhampiran Queensbay Mall jam 10.20 malam menerima RM200 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap nelayan yang mengutip kepah menggunakan tangguk bergalah tanpa lesen.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amin Yaacub, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 11:45 AM