SHALMA dan Imar.
SHALMA dan Imar.
Norhayati Nordin


Sudah jodoh, pasti tak ke mana. Begitulah juga hubungan cinta dijalin pengacara Shalma Ainaa, 25, dan tunangnya, Wan Imar Izzat (Imar), 25.

Mereka dipertemukan di kota London akhir tahun lalu ketika Shalma yang juga pemilik butik pakaian Shals melanjutkan pengajiannya dalam bidang fesyen.

Shalma yang kini mengacara program Motif Viral? setiap Khamis di Astro berkata, dia dan Imar akan disatukan sebagai suami isteri September depan.

Imar, anak kedua Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, kini turut menceburi industri seni. Bapanya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Bernaung di bawah KRU Music sejak pertengahan Mei lalu, Imar kini muncul dengan single sulung ciptaannya, Pinggiran Syurga.

Dalam hal ini, Shalma atau Shalmah Ainaa Bruhanuthen menyokong pembabitan Imar dalam dunia seni.

Katanya, Imar tidak sahaja minat menyanyi tetapi memang ada bakat yang boleh diketengahkan.

“Apabila Imar meluahkan hasrat untuk terbabit dalam industri seni sebagai penyanyi, saya terima dengan hati terbuka.

“Saya memberi sokongan sepenuhnya kepada Imar kerana tahu dia memang ada bakat. Tambah pula lagu Pinggiran Syurga ciptaannya yang sangat istimewa. Lagu itu dedikasi Imar sebagai doa kepada arwah bapanya.

“Pada saya, ia lagu yang amat menyentuh perasaan. Sebaik lagu itu diperdengarkan Imar kepada saya, tiada apa yang mampu saya kongsi melainkan semangat dan sokongan buat Imar,” katanya.

Mengenai majlis perkahwinan, Shalma berkata, dia tahu keluarga Imar masih dalam keadaan bersedih ketika berbincang dengan bakal mentua.

“Melalui perbincangan itu, kata sepakat dicapai untuk saya dan Imar bernikah pada September depan. Segala persiapan berjalan lancar.

“Untuk majlis kahwin kami nanti, saya dan Imar memilih sederhana. Bagi kami apa yang utama adalah majlis akad nikah itu,” katanya.

Shalma yang sangat meminati fesyen juga berkata, dia sebenarnya lebih dulu menceburi bidang itu sebelum menyertai pencarian On Air 2.

“Pembabitan saya dalam On Air 2 pada 2014 kerana minat dan ingin mencuba perkara baru. Saya mahu kenal pasti bakat diri sejauh mana saya mampu membina nama sebagai pengacara.

“Sudah tentu saya ingin menimba pelbagai pengalaman menarik. Ternyata ada rezeki saya dalam bidang pengacara apabila mendapat peluang mengacarakan program H!Live. Ia saya lakukan dengan penuh minat,” katanya.

Pun begitu, minat mendalam Shalma terhadap fesyen akhirnya mendorongnya membuat keputusan meninggalkan H!Live untuk menyambung pengajian di London.

“Kini walaupun saya tidak mengendalikan H!Live, mengacara program Motif Viral? juga memberikan pengalaman baru.

“Memang seronok dapat mengacarakan program santai, ditambah sekarang ini pun apa saja perkara mahu dijadikan viral di Internet,” katanya.

Menurut Shalma, sebelum Motif Viral? dia juga terbabit sebagai pengurus kewangan untuk program Semanis Fondant yang menggabungkannya bekerjasama dengan cef terkenal.

“Saya tidak suka bersikap tamak dalam menerima tawaran kerana selain aktif mengacara saya juga terikat dengan komitmen perniagaan.

“Jadi, dapat peluang mengacarakan satu program pun saya bersyukur. Yang penting, saya mampu membahagikan masa dengan baik.

“Lagi pun saya mahu karier dalam pengacaraan dan perniagaan bergerak seiring. Apatah lagi saya pun sudah mengusahakan butik Shals selama tiga tahun,” katanya.

Mengetengahkan fesyen ringkas tetapi bergaya, Shalma berkata semua koleksi di butik Shals adalah rekaannya sendiri mengikut cita rasanya.

Sempena Aidilfitri ini, Shalma berkata, dia sangat sibuk dan tak menang tangan menguruskan perniagaan butiknya yang turut bekerjasama dengan selebriti popular seperti Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:06 AM