PENYERAHAN kepada bekas malim gunung.
PENYERAHAN kepada bekas malim gunung.
Nurul Husna Mahmud


Sesiapa juga terkesan apabila mengimbas tragedi gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu setahun lalu.

Mana tidaknya, empat daripada 18 yang terkorban adalah malim gunung. Secara tidak langsung membuka mata betapa peranan mereka tidak sekadar membantu pendaki menggalas muatan, sebaliknya mereka sangat penting tatkala menyebut hal keselamatan pendaki gunung terbabit.

Justeru, tidak hairan dalam program khidmat sosial Petronas bersama Hitz.Fm, golongan itu menjadi pilihan sebagai penerima bantuan kali ini berupa sumbangan beras sebagai menghargai jasa mereka.

Lokasi program di Kinasaraban, Kundasang, Sabah menyaksikan 50 penerima dipilih membabitkan ibu tunggal serta warga emas terdiri daripada keluarga malim gunung.

Dinilai berdasarkan latar belakang, status

ekonomi

Menurut Ketua Kampung Jubiri Medang Kid, 120 keluarga yang mendiami kampung berkenaan terjejas akibat gempa bumi tahun lalu.

“Kampung ini yang terletak berhampiran dengan kaki Gunung Kinabalu terjejas apabila rekahan batu turun dan jatuh ke dalam sungai membuatkan ada penduduk tidak dapat bercucuk tanam kerana banjir serta terputus laluan.

“Kebanyakan penduduk kampung adalah penanam tegar dan bergantung pada jualan sayuran setiap hari selain menjadi porter atau malim gunung.

“Kalau ingin dijelaskan situasi ketika itu memang sukar dan terpaksa mendapat bantuan kenalan serta pihak luar dalam menyampaikan bekalan seharian.

“Apabila ada pihak luar terus menghulurkan bantuan, saya wakil penduduk kampung mengalu-alukan keprihatinan mereka dan gembira adanya pihak korporat seperti PETRONAS dan stesen radio swasta sudi menyumbang kepada keluarga terkesan.

“Saringan penerima dibuat oleh saya bersama ahli jawatankuasa lain, kami pilih berdasarkan status mereka ini ibu tunggal serta malim gunung warga emas,” katanya.

Ada pihak meneruskan

usaha menyumbang kepada mangsa gempa

Mengakui biarpun gempa bumi setahun sudah berlalu, ingatan Siti Warneh Sarimi, 32, terhadap peristiwa itu masih jelas.

“Meskipun sudah setahun tetapi ketika gempa bumi, kami orang kampung sangat terkesan antaranya tidak dapat bercucuk tanam sebab banjir. Selain itu ada malim gunung pula berdepan risiko apabila terpaksa mencari rakan hilang ketika tragedi dan membuka laluan baru untuk operasi menyelamat.

“Namun itu asam garam bagi kami penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pergunungan. Kami tidak putus asa malah bertuah apabila menerima bantuan baik dalam kalangan masyarakat di sini serta pihak luar yang prihatin dengan keadaan kami.

“Sehingga kini kami masih terima kedatangan orang luar yang terus menghulurkan sumbangan, tentu saja mengharukan walaupun sudah lama berlalu,” katanya.

Ringankan beban keluarga besar dan warga emas

Bagi penerima lain, Nur Minah atau Surimi Dangkur sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan keluarga besarnya.

“Rasa gembira apabila masih ada orang ambil peduli masalah kami mangsa terjejas akibat gempa. Apa saja sumbangan cukup bermakna buat saya sekeluarga apabila perlu menyara sembilan anak.

“Saya berterima kasih dan syukur selain berharap lebih ramai lagi terus membantu penduduk kampung memerlukan,” katanya.

Sementara itu pasangan warga emas yang juga bekas porter Kimui Buhundal dan Kitarong Daras berasa dihargai dengan kehadiran sukarelawan sudi menyumbang beras dalam program komuniti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:02 AM