HAFIZH (depan) raih tempat keempat di Litar Catalunya.
HAFIZH (depan) raih tempat keempat di Litar Catalunya.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba sensasi Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah mahu meneruskan rentak tunggangan cemerlang pada pusingan kelapan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Assen, Belanda, esok.

Hafizh mengaku Litar Assen sebagai trek sukar, tetapi akan cuba menyesuaikan diri dengan cepat, terutama pada sesi latihan bebas yang berlangsung semalam.

“Assen sebuah litar yang laju. Setiap pelumba memerlukan tahap keyakinan tinggi jika mahu beraksi di litar ini.

“Saya rasa peluang untuk terus mengutip mata ada dalam tangan. Cuma untuk bersaing di kedudukan lima terbaik, ia mungkin sukar kerana saingan agak tinggi.

“Ini kerana pelumba dari kedudukan pertama sehingga ke-20, kesemuanya hanya dibezakan kira-kira satu saat saja.

“Yang penting saya mahu mengekalkan momentum,” katanya.

Beraksi bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia, prestasi Hafizh nyata tidak mengecewakan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di bawah kedudukan 10 terbaik sebanyak lima kali selepas tujuh pusingan.

Penamat paling terbaik adalah di kedudukan keempat pada perlumbaan pertama di Qatar serta di Catalunya, Sepanyol sekali gus menyaksikannya menduduki tempat kelima kedudukan pelumba dengan meraih 60 mata.

Hafizh dilihat berpeluang mencecah kutipan lebih 100 mata pada musim ini sekiranya kekal mempamer aksi konsisten pada baki pusingan selepas ini.

Musim lalu dianggap pencapaian terbaik Hafizh sepanjang beraksi dalam saingan Moto2 apabila menduduki tangga ke-16 keseluruhan dengan mengumpul 64 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:08 AM